PUTRAJAYA – Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kota di Pulau Pinang merupakan DUN terkecil dengan kepadatan penduduk tertinggi, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Tiga DUN yang mempunyai anggaran jumlah penduduk pertengahan tahun tertinggi di Malaysia pada tahun 2022 ialah N.49 Kota Iskandar di Johor dengan jumlah penduduk sebanyak 310,900 orang, diikuti dua DUN di Selangor iaitu N.40 Kota Anggerik dengan jumlah penduduk sebanyak 294,500 orang dan N.37 Bukit Lanjan dengan jumlah penduduk sebanyak 290,500 orang.

Dua DUN di Pulau Pinang merekodkan jumlah penduduk terendah iaitu di N.26 Padang Kota (5,900 ) dan N.28 Komtar (7,800).

Manakala DUN N.27 Pengkalan Kota di Pulau Pinang mencatatkan kepadatan penduduk tertinggi dengan jumlah 21,061 orang dalam setiap kilometer persegi, diikuti oleh N.21 Pandan Indah dengan jumlah 14,686 orang dalam setiap kilometer persegi dan N.30 Sungai Pinang dengan jumlah 13,851 orang dalam setiap kilometer persegi.

Sementara itu, tiga DUN yang mempunyai keluasan terbesar adalah N.64 Baleh, Sarawak dengan keluasan sebanyak 11,607 kilometer persegi, diikuti oleh N.65 Belaga, Sarawak dengan keluasan sebanyak 11,579 kilometer persegi dan N.57 Kuamut di Sabah dengan keluasan sebanyak 10,954 kilometer persegi.

Ini turut menjadikan N.64 Baleh dan N.65 Belaga sebagai DUN dengan kepadatan penduduk terendah iaitu seorang bagi setiap kilometer persegi.

Statistik Subnasional DUN juga memaparkan komposisi penduduk mengikut kumpulan etnik dengan, kumpulan etnik Bumiputera merupakan kumpulan etnik tertinggi di tiga DUN Terengganu pada tahun 2022 iaitu N.22 Manir sebanyak 99.9 peratus, manakala N.06 Permaisuri dan N.07 Langkap serta satu DUN di Perlis iaitu N.05 Santan masing-masing merekodkan sebanyak 99.8 peratus kumpulan etnik Bumiputera.

Kumpulan etnik Cina pula mendominasi DUN N.31 Batu Lancang, Pulau Pinang dengan 85.2 peratus, N.27 Pasir Pinji, Perak dengan 81.3 peratus dan N.54 Pelawan, Sarawak dengan 81.1 peratus.

Etnik India pula mendominasi DUN N.30 Buntong, Perak dengan 49.6 peratus, N.48 Sentosa, Selangor dengan 38.0 peratus dan N.22 Jalong, Perak dengan 30.7 peratus.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, bagi komposisi penduduk mengikut kumpulan umur pula, penduduk umur muda 0-14 tahun mendominasi DUN N.17 Bukit Katil, Melaka dengan 45.0 peratus, diikuti oleh DUN N.43 Nenggiri, Kelantan dengan 40.8 peratus dan DUN N.18 Ayer Molek, Melaka dengan 39.2 peratus.

Penduduk umur bekerja 15-64 tahun mendominasi DUN N.11 Pauh, Perlis dengan 83.0 peratus diikuti dua DUN di Pulau Pinang iaitu N.28 Komtar dengan 81.6 peratus dan N.17
Bukit Tengah dengan 80.8 peratus.

Penduduk umur tua iaitu 65 tahun dan ke atas pula mendominasi di tiga DUN di Selangor, iaitu masing-masing di N.01 Sungai Air Tawar sebanyak 25.1 peratus, diikuti N.04 Sekinchan dengan 21.5 peratus dan DUN N.02 Sabak sebanyak 20.7 peratus.

Statistik Subnasional DUN ini turut memperincikan fasiliti utama seperti bilangan sekolah rendah dan menengah, klinik kesihatan, hospital kerajaan, hospital swasta, stesen minyak, kedai dobi, kedai runcit, farmasi dan lain-lain di setiap DUN di Malaysia.

Dua DUN yang mencatatkan bilangan sekolah rendah tertinggi terletak di Borneo iaitu di Sabah, N.45 Sook sebanyak 41 buah sekolah dan di Sarawak N.71 Bekenu sebanyak 35
buah sekolah, manakala DUN N.49 Kota Iskandar di Johor mempunyai sebanyak 34 buah sekolah rendah.

DUN yang mencatatkan bilangan sekolah menengah tertinggi pula terletak di Johor iaitu di DUN N.43 Permas sebanyak 12 buah sekolah.

Dua DUN di Johor iaitu N.49 Kota Iskandar dan N.46 Perling, N.23 Manjoi, Perak dan N.34 Lunas, Kedah masing-masing merekodkan sebanyak 11 buah sekolah menengah.

Bagi fasiliti kesihatan pula, tiga DUN yang mencatatkan bilangan klinik kesihatan tertinggi terletak di Sarawak iaitu di DUN N.78 Mulu sebanyak 13 buah, N.65 Belaga (8 buah),
dan N.48 Meluan (7 buah), manakala DUN N.48 Sugut di Sabah turut mencatatkan bilangan klinik kesihatan yang sama iaitu 7 buah.

Dua DUN di Selangor dan dua DUN di Borneo pula masing-masing merekodkan sebanyak dua buah hospital kerajaan yang terletak di DUN N.38 Paya Jaras dan N.55 Dengkil,
manakala dua DUN di Borneo iaitu N.20 Api-Api di Sabah dan N.17 Stakan di Sarawak.

Tiga DUN merekodkan bilangan katil hospital kerajaan tertinggi dengan dua daripadanya di Perak iaitu di N.24 Hulu Kinta (1,800 buah) dan N.29 Kepayang (1,394 buah) dan DUN N.47
Pandamaran, Selangor (1,261 buah).

Manakala bilangan farmasi tertinggi pula dilaporkan di tiga DUN di Selangor, iaitu N.31 Subang Jaya (136 buah), N.32 Seri Setia (134 buah) dan N.36 Bandar Utama (115 buah).

Bagi bilangan pertubuhan perniagaan, tiga DUN Selangor merekodkan bilangan pertubuhan tertinggi iaitu di N.32 Seri Setia (17,857 buah), N.30 Kinrara (17,716 buah) dan N.40 Kota Anggerik
(14,279 buah).

Seterusnya bagi fasiliti dan kemudahan asas terpilih, tiga DUN yang mencatatkan bilangan stesen minyak tertinggi terletak di N.46 Perling (59 buah), N.40 Kota Anggerik (49 buah) dan

N.36 Bandar Utama (41 buah) manakala tiga DUN yang mencatatkan bilangan kedai dobi tertinggi berada di N.40 Kota Anggerik (64 buah), N.41 Puteri Wangsa (46 buah) dan N.13
Semambu (41 buah).

Tiga DUN yang mencatatkan bilangan kedai runcit tertinggi terletak di Borneo iaitu di Sabah, DUN N.63 Kunak dan N.72 Merotai masing-masing sebanyak 361 dan
291 buah manakala sebanyak 333 buah kedai runcit direkodkan di DUN N.19 Mambong, Sarawak. – MalaysiaGazette