Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Perjuangan UMNO memartabatkan ABATA (agama, bangsa dan tanahair) tidak pernah tersasar walaupun bergandingan dengan Pakatan Harapan (PH) yang disertai oleh parti DAP.

Sebaliknya, dalam landskap politik semasa, UMNO kini berupaya bekerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rodsy Wan Ismail menegaskan, kerjasama yang dimeterai dengan baik antara UMNO dan DAP ini telah mencetuskan rasa cemburu oleh bekas rakan sekutu DAP yang pernah bersama parti itu sebelum ini.

“Kalau kita tengok demografi kerusi-kerusi yang dimenangi oleh DAP sejak dahulu, parti ini tidaklah mengharapkan sangat undi UMNO.

“Tetapi sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan, kita pasti akan membantu sehabis baik dan memberi kefahaman sebaik-baiknya kepada akar umbi dengan cara kita.

“Yang pasti, kerjasama ini tidak sedikit pun membuatkan perjuangan UMNO memartabatkan ABATA tersasar,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mengulas mengenai mengundi calon Pakatan Harapan (PH) yang terpilih mewakili Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Wan Rosdy berkata,
rakyat dan akar umbi UMNO sebenarnya lebih mengenali siapa yang perlu mereka pilih bagi meneruskan kesimbungan kepimpinan negara berdasarkan pengalaman terdahulu.

Kata Menteri Besar Pahang itu lagi, calon popular di platform media sosial belum tentu mahir dan mampu bertahan dan bersama rakyat dalam waktu sukar dan senang.

“Akar umbi UMNO tahu siapa yang perlu mereka undi. Mereka tahu calon yang mana yang boleh menjaga mereka dan mengambil berat kebajikan dan kesejahteraan mereka.

”Calon yang pandai bertiktok dan aktif di sosial media tak semestinya boleh menjaga mereka dengan baik.

“Rakyat mahu pemimpin yang boleh duduk bersama, mendengar denyut nadi masyarakat setempat,” katanya.

Ditanya mengenai persediaan Barisan Nasional Pahang untuk menghadapi pilihan raya negeri tidak lama lagi, Wan Rosdy berkata, jentera negeri itu akan turun bagi membantu Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

“Empat negeri kita akan bantu. Jentera BN Pahang bersedia memberi bantuan untuk setiap negeri yang mana BN bertanding,” tambahnya.

Wan Rosdy menyifatkan kerjasama ini sudah menjadi tradisi dalam UMNO dan BN untuk turun di lapangan semasa kempen demi semangat kebersamaan dalam perjuangan parti.

Melihat kembali perjuangan UMNO yang kian bangkit, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang itu tidak menolak kemugkinan parti keramat boleh memberi persaingan yang sengit sekali gus menakluki Kelantan dan Terengganu.

”Sekurang-kurangnya BN akan berusaha untuk menambahkan kerusi pembangkang yang kuat di negeri-negeri itu.

”Sebenarnya memang tidak mustahil nak ambil balik Kelantan dan Terengganu jika rakyat memberi undi kepada Barisan Nasional. Semua bergantung kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast