Ahmad Sukarno Mohd Zahari menunjukkan peralatan elektronik khas ' Jammer' yang dirampas dari Geng Sasi Navy aktif curi seludup kereta Honda Civic dan Pajero ke Thailand ditumpaskan polis Sentul.

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki termasuk seorang pesara tentera laut ditangkap secara berasingan selepas disyaki terlibat dengan sindiket curi kenderaan di sekitar Lembah Klang, Perak dan Negeri Sembilan sejak hujung tahun lalu.

Ketua Polis Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, dalang sindiket itu dikenali sebagai Sasi Navy, 40, ditahan di Kampung Gajah, Perak.

Manakala dua lagi rakannya ditahan di Ipoh dan Nilai, Negeri Sembilan pada 13 Mei lalu.

Susulan tangkapan itu, polis merampas dua kenderaan dan peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri serta beberapa nombor plat pendaftaran kenderaan palsu.

Menurutnya, sindiket ini menyasarkan kenderaan jenis Honda Civic dan Mitsubishi Pajero kerana mendapat permintaan di negara jiran.

“Hanya dengan sepuluh minit sahaja, kenderaan itu berjaya dibuka dan enjin dihidupkan sebelum mereka melarikan kenderaan itu untuk dijual ke negara jiran.

Kesemua suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah dan direman bermula 14 hingga 18 Mei lalu bagi membantu siasatan.

Susulan penahanan itu, polis berjaya menyelesaikan sebanyak tujuh kes kecurian yang dilaporkan sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast