Koleksi Pride Swatch

KUALA LUMPUR – Sebuah pertubuhan hak asasi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tempatan, Jejaka kecewa dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas koleksi jam ‘Rainbow Pride’ Swatch.

Timbalan Presiden Jejaka, Dhia Rezki Rohaizad berkata, tindakan yang diambil terhadap Swatch’s Pride Collection mendedahkan tahap sikap tidak bertolak ansur yang amat meresahkan.

“Ia lebih daripada soal jam tangan berwarna-warni, ia mengenai penghormatan terhadap kepelbagaian, kebebasan bersuara, dan yang lebih penting mengenai kasih sayang.

“Kita mesti ingat bahawa masyarakat yang lebih menerima (terbuka) bermula dengan menerima semua warna pelangi.

“Setiap satu (warna) mewakili cerita yang berbeza, perjuangan yang berbeza, dan kemenangan yang berbeza,” kata Dhia Rezki dalam kenyataan yang dikongsi di media sosial.

Menurut beliau, tindakan yang disifatkan sebagai keras itu bercanggah dengan kebebasan asas bersuara, toleransi dan persefahaman.

Tambah beliau, koleksi Pride mewakili nilai kasih sayang, penerimaan dan kepelbagaian dan tidak boleh dengan apa cara sekalipun ditafsirkan sebagai berbahaya atau mengancam.

“Dalam dunia yang penuh dengan warna-warni, amat memalukan bahawa kita masih perlu memperjuangkan hak untuk menjadi diri sendiri.

“Sudah tiba masanya kita berusaha untuk memahami, bukan sekadar toleransi. Paling penting, sudah tiba masanya kita meraikan perbezaan kita dan bukan sebaliknya menghukum mereka.

“Sebagai masyarakat, kita perlu bertanya kepada diri sendiri: Apakah jenis mesej yang kita hantar apabila pelangi, simbol harapan sejagat, menjadi kontroversi?” katanya.

Jejaka menurut beliau, bersoladiriti dengan Swatch dan menyatakan sokongan penuh usaha syarikat itu untuk merayu dikembali semula koleksi tersebut.

KDN dilaporkan menyerbu 11 butik jam tangan jenama Swatch di beberapa negeri dan merampas koleksi bertemakan pelangi yang sering dikaitkan dengan komuniti LGBT.

Serbuan selama dua hari pada 13 dan 14 Mei itu diadakan di butik Swatch yang terletak di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur, One Utama, Sunway Pyramid, Setia City Mall, Mid Valley Megamall, Southkey, Sunway Putra Mall, Sogo KL, Queensbay, Fahrenheit 88 dan Suria Sabah.

Lima lagi butik diberi amaran iaitu di Kuala Terengganu City Centre, AEON Kota Bharu, Aman Central Kedah, City Square dan Viva City Kuching. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. nak LGBT sila tukar kewarganegaraan, pindah la mana2 pun, azab Allah itu ADA, jgn lupa

Comments are closed.