banglo Guan Eng saw yee fung kerajaan PH bekalan gula
Saw Yee Fung

KUALA LUMPUR – Kerajaan dan pihak bertanggungjawab diminta ‘bangun dari mimpi yang lena’ serta bertindak segera menangani isu kekurangan gula yang dihadapi rakyat ketika ini.

Jurucakap MCA, Saw Yee Fung berkata, soal manipulasi barangan kawalan juga perlu dipandang serius.

Menurut beliau, sudah beberapa kali kerajaan menekankan untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyorok dan memanipulasi barangan kawalan, namun hal yang sama tetap berlaku.

“Adakah amaran yang diberikan oleh kerajaan itu tidak bermakna kepada mereka?

“Atau kerajaan dan pihak berwajib terlalu ‘lembut’ untuk bertindak terhadap pihak yang berkaitan kerana turut memberi kepentingan kepada diri sendiri?” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengingatkan para peniaga tidak mengenakan apa-apa pembelian bersyarat atau menyorok bekalan gula kerana tindakan boleh dikenakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sejak awal bulan ini, kekurangan bekalan gula dilaporkan berlaku di beberapa negeri termasuk Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Pahang.

Yee Fung menambah, jika masalah berlaku ekoran tindakan orang tengah yang ingin menaikkan harga dan membebankan pembeli, tindakan sewajarnya perlu diambil.

Beliau memberitahu, sekiranya masalah bekalan gula berpunca daripada pihak pengilang, notis awal pemberitahuan perlu dilakukan dengan kadar segera supaya keadaan tidak menjadi bertambah rumit.

“Andai kata pengilang memiliki masalah yang menyebabkan mereka tidak dapat mengeluarkan produk dengan lancar, setidak-tidaknya pemborong, peruncit dan pengguna ada alternatif lain untuk menampung keperluan masing-masing,” jelasnya.

Yee Fung berkata, ketiadaan atau gangguan bekalan gula pasti memberi kesan kepada usahawan kecil seperti penjual kuih dan minuman.

“Mereka memerlukan bekalan gula ini setiap hari bagi meraih pendapatan harian. Jika bekalan gula tiada, pasti akan menjejaskan pengoperasian mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast