GEORGE TOWN – Lepaskan tembakan, simbah asid, cat antara ugutan diterima 10 pemilik premis jual kenderaan baru dan terpakai di sekitar daerah Timur Laut sejak awal Mei lalu.
Kesemua perbuatan khianat itu dilakukan semata-mata bagi memeras ugut pemilik premis agar menyerahkan wang berjumlah RM10,000.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, sekiranya mangsa tidak memberikan wang yang diminta selepas melakukan khianat pertama suspek akan mengugut untuk mengulangi perbuatan tersebut.
Jelas beliau, setakat ini sebanyak 43 kereta dan 18 motosikal pelbagai jenama telah mengalami kerosakan akibat disimbah cecair atau asid disyaki peluntur cat dalam kejadian itu sekali gus menyebabkan pemilik menanggung kerugian bernilai RM60,000.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kita kesan suspek lelaki menaiki motosikal jenis Yamaha 135 LC melakukan perbuatan khianat ini.
“Siasatan juga mendapati suspek mensasarkan premis jualan kenderaan baru dan terpakai dengan membaling bungkusan plastik berisi cecair berwarna merah atau asid peluntur cat terhadap kenderaan yang berada dalam kawasan premis.
“Suspek didapati melakukan perbuatan itu sekitar jam 3 petang hingga 6 pagi seorang diri dan selepas melakukan khianat, lelaki berkenaan akan menghubungi pemilik premis menerusi SMS serta meminta wang sebanyak RM10,000,” katanya pada sidang media di IPD Timur Laut hari ini.
Soffian berkata, ada premis yang sudah tiga kali disimbah cecair berkenaan kerana tidak mahu mengikut kemahuan suspek.
“Setakat ini, polis sudah menerima sebanyak 12 laporan kes khianat sejak 2 Mei hingga hari ini susulan itu satu operasi khas turut dilancarkan bagi mengesan suspek berkenaan.
“Selain itu, sebuah kedai jualan motosikal di Jalan Dato Keramat di sini, antara terakhir menjadi sasaran perbuatan khianat dengan melepaskan tembakan ke arah cermin premis dalam kejadian kira-kira jam 10.42 malam tadi.
“Kita dapati tembakan itu tidak membabitkan sejenis senjata api tetapi dipercayai menggunakan senapang angin dan perbuatan dipercayai dilakukan suspek yang menaiki kereta jenis Proton Wira Aeroback berwarna hitam.
“Bagaimanapun, pemilik premis itu tidak menerima sebarang SMS atau dihubungi suspek dan kita sedang menyiasat sama ada kes berkenaan berhubung kait dengan simbah asid atau sebaliknya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Soffian menghadiri perjumpaan bersama seramai 24 ahli Persatuan Pengusaha Kereta Terpakai Pulau Pinang dan hadir sama ialah Presidennya, Datuk Tony Khor Chong Boon.
Chong Boon berkata, terdapat 408 premis perniagaan kenderaan terpakai di negeri ini dan pertemuan itu adalah bagi memberi kerjasama kepada pihak polis.
“Kesemua mangsa tidak mempunyai hutang dengan lintah darat tetapi kami percaya perbuatan itu dilakukan bagi memeras ugut pemilik premis,” katanya. – MalaysiaGazette