LONDON – Pakar perpindahan bola sepak dunia, Fabrizio Romano mendedahkan Manchester United telah mengusahakan kesepakatan untuk mendapatkan bek tengah Napoli, Kim Min-jae sejak tujuh bulan lalu.
Menurutnya, usaha itu bermula pada hujung Oktober dan awal November selepas skuad pencari bakat kelab itu mula memantau perkembangan pemain antarabangsa Korea Selatan itu.
“Mereka telah menghantar skuad pencari bakat mereka dan mereka sentiasa berada di sana untuk mengikuti perkembangan Kim Min-jae bersama Napoli.
“Dia telah mempamerkan persembahan yang hebat dan dia telah menjadi bek tengah terbaik musim ini, pastinya, dalam Serie A dan dia bermain dengan sangat baik,” katanya memetik laporan Buletin Manchester United.
Sebelum ini media melaporkan, Napoli yang juga Juara Serie A 2022/2023 pantas meletakkan harga untuk mana-mana pasukan yang berminat untuk mendapatkan Min-jae.
Selain United, dia juga menjadi sasaran beberapa kelab besar di Eropah seperti Liverpool khususnya setelah membantu Napoli memenangi Serie A.
Napoli telah meletakkan harga sebesar €60 Juta (RM293 juta) untuk mana-mana kelab yang mahu mendapatkan khidmat Kim Min-jae. – Agensi