Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Putrajaya bersetuju melanjutkan waktu operasi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) bagi membantu mangsa penipuan untuk mendapat bantuan secara tepat dan segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berikutan itu Bank Negara (BNM) memmaklumkan kepada bank supaya operasi pemantauan berjalan 24 jam dan pengadu boleh menghentikan aktiviti scam secara automatik.

“Saya ingin maklum bahawa Bank Negara telah memberikan maklum kepada semua bank supaya operasi pemantauan ini 24 jam dan ke arah automation supaya pengadu boleh mengambil tindakan menghentikan pengeluaran dana daripada bank serta merta,” katanya menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri) pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT), hari ini.

Hong Pin mengutarakan persoalan adakah Kerajaan mempunyai rancangan untuk memanjangkan masa operasi NSRC kepada 24 jam bagi membantu mereka yang menjadi mangsa penipuan mendapat bantuan yang tepat dan segera dalam masa yang kritikal.

Statistik menunjukkan sejak penubuhan NSRC sehingga April 2023, sebanyak 30,069 panggilan diterima..

Daripada jumlah itu, sejumlah 11,858 adalah panggilan mangsa scam dengan jumlah kerugian yang dilaporkan sebanyak RM104.8 juta.

Kertas siasatan yang dibuka ialah sebanyak 3,595 kes bagi kesalahan penipuan di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sebanyak 33 kertas siasatan bagi kesalahan pengubahan wang haram telah melibatkan sekatan berjumlah RM34.8 juta.

Dalam pada itu, Anwar berkata, terdapat kekangan daripada sistem itu yang mana langkah pemulangan wang juga harus diperkemaskan.

“Isunya sekarang ialah bagaimana kita nak pulangkan. Jadi arahan sekarangnya ialah beberapa pindaan termasuk Kanun Tatacara Jenayah supaya dapat dipulangkan lebih awal kepada pengadu atau mangsa dan dikekalkan bon sebagai ganti sementara kes berjalan.

“Kalau tidak, dia terpaksa tunggu dua tahun supaya dapat balik wang yang telah ditipu.

“Peruntukan juga ditambah untuk tahun ini RM10 juta bagi Bajet 2023 kepada NSRC selain daripada memperkemas kerjasama dan penambahan pegawai dan kerjasama dengan negara lain yang menghadapi masalah sama atau lebih serius,” katanya.

Kerajaan baru-baru ini membelanjakan sebanyak RM10 juta setahun bagi perbelanjaan bagi pengoperasian NSRC dalam belanjawan 2023. – MalaysiaGazette