Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Harga Rumah Mampu Milik (RMM) turun antara 1.7 peratus hingga 2.38 peratus atau maksimum sehingga RM5,000 untuk setiap rumah yang berharga RM300,000 selepas inisiatif Harga Simen Rahmah diperkenal.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, Insiatif Skim Simen Rahmah mendapat kerjasama pihak swasta iaitu Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia dan pemaju perumahan swasta bagi pemajuan perumahan mampu milik yang berharga RM300,000 ke bawah.

Katanya, kementerian akan memantau pelaksanaan inisiatif ini melalui kelulusan Permit Iklan dan Jualan (AP) yang akan diberikan melalui Housing Integrated Management System (HIMS) termasuk janaan perjanjian jual beli (eSPA) yang menunjukkan pengurangan harga rumah berdasarkan jenis rumah dan keluasan.

Pembeli boleh memastikan terdapat pengurangan ini dengan membuat semakan dalam perjanjian jual beli tersebut.

Inisiatif ini akan dilaksanakan bagi pemajuan yang diluluskan AP bermula pada 1 Mei 2023 hingga 30 Jun 2024 mengikut peruntukan di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118].

“Oleh itu, pembeli akan dapat merasai pengurangan harga rumah ini bagi pembelian mana-mana projek perumahan yang diluluskan dalam tempoh tersebut.

“Ini merupakan kerjasama strategik antara Kerajaan dan pihak swasta dan bakal dinikmati oleh 24,000 orang pembeli rumah berdasarkan data Kementerian yang mengunjurkan 24,000 unit RMM akan dibina bagi tempoh tersebut.

“Ini bermakna setiap pembeli rumah di bawah kategori ini layak menerima inisiatif pengurangan harga jualan.” jelas beliau.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid yang meminta kementerian dapat memberi jaminan harga rumah dapat diturunkan selepas inisiatif Harga Simen Rahmah diperkenalkan dan bilakah rakyat dijangka dapat merasai kesan penurunan harga simen.

Katanya, melalui inisiatif tersebut, pembekal simen menawarkan simen pukal dengan harga RM290 setiap tan metrik berbanding harga pasaran semasa iaitu RM410 setiap tan metrik iaitu pengurangan sebanyak RM120 (29.3 peratus) setiap tan metrik.

Simen kampit pula ditawarkan pada harga RM17.50 sekampit berbanding harga pasaran iaitu RM22.50 sekampit iaitu pengurangan sebanyak RM5.00 iaitu 22.2 peratus).

“Secara anggaran kasar, pecahan kos pembangunan bagi sesuatu pemajuan perumahan adalah 67 peratus. Kos pembangunan tersebut yang diterjemahkan kepada nilai harga jualan rumah yang mana daripada 67 peratus tersebut.

“Dianggarkan nilai peratus penggunaan simen adalah di antara 1.7 peratus hingga 2.38 peratus berdasarkan jenis, harga rumah dan keluasan binaan rumah,” katanya.-MalaysiaGazette