GOMBAK – Jenazah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, yang terkorban ketika menawan Gunung Everest dijangka tiba di tanah air, Jumaat ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jenazah telah dibawa turun ke Everest Base Camp (EBC).
Beliau berkata, proses selanjutnya adalah untuk dibawa ke hospital di Kathmandu, Nepal dengan menggunakan helikopter.
“Selesai proses di hospital berkenaan, maka jenazah akan diterbangkan ke Malaysia dan kemudian dibawa pulang ke Kota Kinabalu, Sabah. Ini bagi memenuhi hasrat ahli keluarganya yang mahukan jenazah Allahyarham dikebumikan di kampung beliau sendiri.
“Kita jangkakan jenazah akan tiba di Kota Kinabalu pada Jumaat ini dan mungkin jenazah dikebumikan hari sama atau selewat-lewatnya Sabtu ini di Kampung Benoni, Papar,” katanya.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Op Ramah Monsun Barat Daya, di sini, hari ini.
Terdahulu, jenazah pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) itu selamat dibawa turun ke EBC kira-kira jam 9.50 pagi waktu tempatan dengan bantuan enam malim gunung menggunakan pengusung.
Allahyarham Awang Askandar meninggal dunia pada Jumaat lalu selepas berdepan masalah kesihatan pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut dan hanya memerlukan kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncak Everest.
Dalam pada itu, Armizan memberitahu, kerajaan juga komited dalam usaha pencarian seorang lagi pendaki negara, Muhammad Hawari Hashim, 33, yang hilang selepas berjaya menawan puncak itu, Jumaat lalu.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara tersebut kerana ia di bawah kelolaan Kementerian Luar.
“Apa yang saya boleh katakan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen bahawa kerajaan akan bantu dari segi kewangan untuk operasi pencarian itu termasuk sumbangan pelbagai pihak lain,” katanya. – MalaysiaGazette