Gula premium yang dikatakan bakal berada dalam pasaran.

KUALA LUMPUR – Tidak ada masalah jika pengeluar gula mahu memperkenalkan gula premium dalam pasaran kerana pada akhirnya pengguna yang mempunyai pilihan.

Ia seperti memilih petrol RON97 dan RON95.

“Golongan mewah, pakailah RON97, yang berpendapatan rendah gunalah RON95.

“Asalkan kenderaan boleh bergerak, sudahlah,” kata bekas pemimpin industri gula negara.

Beliau yang enggan dikenali berkata, mekanisme petrol sesuai diperkenalkan dalam industri gula.

Walau apa pun jenis gula, asalkan ia berasa manis.

“Kategori apa pun, gula tetap gula,” ujarnya.

Yang paling penting ialah kerajaan perlu memastikan bekalan gula standard yang berharga RM2.85 sekilogram itu mencukupi dengan keperluan rakyat.

Tambahnya, jangan apabila gula premium dibenarkan dijual, bekalan gula standard pula dihadkan pengeluarannya.

Kalau ini berlaku, pastinya rakyat akan ‘mengamuk’.

“Dalam hal ini, kerajaan perlu memainkan peranan supaya pengeluar gula tidak mengehadkan pengeluaran gula standard demi mengejar keuntungan jualan gula premium.

“Ini kerana, peniaga di warung, restoran mahupun hotel pastinya akan membeli gula standard, bukan gula premium.

“Andai gula premium digunakan oleh peniaga, sudah tentu harga jualan dinaikkan, itu pasti,” katanya.

Beliau mengakui kenaikan kos harga gula mentah dunia memberi tekanan kepada pengeluar-pengeluar gula.

Ditambah pula dengan lonjakan harga gas, peningkatan gaji minimum, kos logistik yang naik serta kejatuhan ringgit pastinya menjejaskan margin operasi pengeluar-pengeluar gula.

Hendak buat pinjaman bagi menampung kenaikan kos-kos ini, pengeluar terpaksa berdepan dengan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pula.

“Mungkin dengan pengeluaran gula premium ini, pengeluar berharap dapat menampung harga kos dan memperoleh untung. Kalau nak harapkan gula standard tak boleh, barang kawalan,” jelasnya.

Namun, katanya, turun naik harga gula mentah ni bersifat cyclical atau sementara.

“Esok-esok bila kos gula mentah turun, takkan nak jual mahal lagi? Payahlah pengguna, pengeluar pula untung berlipat ganda.

“Pengeluar gula mentah India, Brazil dan Thailand pun menetapkan harga mengikut faktor tertentu, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast