GEORGE TOWN – Tiga pekebun durian antara lima lelaki direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pemerasan serta khianat ke atas premis jualan kenderaan terpakai dan baharu.
Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Nur Melati Diana Abd Wahab membolehkan siasatan terhadap kesemua suspek dilakukan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan 385 akta sama.
Kesemua yang ditahan berusia antara 26 hingga 63 tahun itu turut terdiri daripada seorang pembantu kedai telefon bimbit serta peniaga penghawa dingin.
Selain itu, tiga daripada suspek yang direman itu mempunyai hubungan kekeluargaan iaitu bapa serta adik kepada suspek utama berusia 36 tahun.
Kesemua lima suspek tersebut diwakili peguam Tan Yen Sing daripada SY Cheong & Partners.
ARTIKEL BERKAITAN
Tiga sekeluarga antara lima ditahan kes simbah asid, peras ugut
Terdahulu, polis memberkas lima lelaki yang disyaki terbabit dalam kes khianat membabitkan premis kenderaan baharu dan terpakai di negeri ini.
Penahanan kesemua suspek dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, lima suspek berkenaan ditahan antara jam 5.15 petang semalam hingga 3.20 pagi tadi membabitkan tiga lokasi berasingan sekitar Jalan Patani, Jelutong serta Bayan Baru.
Jelas beliau, dalam tempoh kurang tiga hari, pihaknya berjaya menyelesaikan 15 kes peras ugut dan simbah cat asid terhadap premis terbabit yang mana 12 daripadanya di daerah Timur Laut manakala tiga di Barat Daya. – MalaysiaGazette