GEORGE TOWN – Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang terlibat dalam kes pukul dan buli akan diberhentikan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan berhubung insiden berkenaan daripada Bahagian Pendidikan MARA.
“Kita tidak akan berkompromi dalam isu buli dan pukul melibatkan institusi pendidikan di bawah MARA.
“Saya sudah terima laporan daripada Bahagian Pendidikan MARA, semua yang terlibat dicadangkan untuk diberhentikan daripada MRSM.
“Selain itu, tiada usaha menutup kes sebagaimana dakwaan,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
ARTIKEL BARKAITAN
MalaysiaGazette pada Ahad lalu melaporkan, polis mengesahkan menahan lima pelajar MRSM di Balik Pulau bagi membantu siasatan kes buli yang berlaku Jumaat lalu.
Kejadian pada jam 11 malam itu melibatkan mangsa pelajar Tingkatan Tiga di tandas lelaki Blok B bangunan sekolah berkenaan.
Difahamkan, mangsa dikatakan dipukul oleh pelajar Tingkatan Lima disebabkan alasan lambat turun untuk solat Subuh.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal mengesahkan menerima laporan dan tangkapan tersebut. – MalaysiaGazette