KOTA SAMARAHAN – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU).
Menurut satu kenyataan, melalui MoU ini, PTPTN dan UNIMAS bersetuju untuk memastikan pembudayaan penabungan melalui Simpan SSPN, meningkatkan kefahaman dan kesedaran pelajar tentang bayaran balik pinjaman serta memperkasakan penyelidikan dan pembangunan untuk memasarkan produk Simpan SSPN.
Katanya, PTPTN dan UNIMAS bersetuju untuk bekerjasama merangkumi pelbagai skop antaranya pembudayaan penabungan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi seluruh warga UNIMAS melalui pelbagai program Penyaluran Biasiswa atau Bantuan Kewangan Pelajar yang disediakan UNIMAS
melalui akaun Simpan SSPN Prime.
Jaringan kerjasama di dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) antara UNIMAS dan PTPTN dan peluang mengadakan program Job Matching yang akan memberi manfaat buat graduan UNIMAS.
“Selaras dengan tujahan “Community-Driven University” UNIMAS berupaya menjadi kampus contoh budaya penabungan bijak dengan pelbagai program penyampaian informasi oleh PTPTN, yang dijangka dapat memberi manfaat buat komuniti pelajar
universiti yang berjumlah hampir 16,500 orang,” kata kenyataan itu.
Pada majlis yang diadakan di Rumah Universiti, UNIMAS diwakili Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi manakala PTPTN diwakili Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
PTPTN adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa komited membudayakan agenda penabungan untuk perancangan kewangan rakyat
Malaysia melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) di samping menyediakan pinjaman bagi tujuan pendidikan tinggi.
Simpan SSPN merupakan instrumen simpanan yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada rakyat Malaysia. Hasrat PTPTN adalah untuk membantu ibu bapa dan pelajar agar mempunyai perancangan kewangan yang baik demi masa depan
pendidikan agar tidak terbeban dengan hutang.
Menurut kenyataan itu, kerjasama tersebut diharao dapat memberikan impak positif kepada PTPTN dan UNIMAS dalam memastikan para pelajar lebih cakna dan berpengetahuan mengenai perancangan kewangan melalui Simpan SSPN. – MalaysiaGazette