KUALA LUMPUR – Sime Darby Bhd mencatatkan untung bersih RM240 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2023, susut 1.6 peratus berbanding suku yang sama tahun lalu.

Hasil kumpulan pada suku itu meningkat 9.5 peratus kepada RM11.53 bilion, berbanding RM10.52 bilion yang dilaporkan suku sama tahun sebelumnya.

Sime Darby dalam satu kenyataan berkata, penyusutan untung bersih pada suku dikaji itu berikutan untung lebih rendah yang dicatatkan kumpulan daripada perniagaan automotif di China dan kos pembiayaan lebih tinggi pada suku tahun yang dilaporkan.

Bagaimanapun, jumlah itu diimbangi sebahagiannya oleh keuntungan lebih tinggi daripada perniagaan perindustrian kumpulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, pada Mac, pihaknya telah menandatangani perjanjian untuk memperoleh Onsite Rental Group Limited (Onsite), peneraju pasaran dan pakar di Australia dalam perniagaan sewaan peralatan.

Beliau berkata, perjanjian itu menjadi kunci kepada usaha mempelbagaikan tawaran dalam bidang sewaan peralatan untuk meliputi pelbagai industri di pasaran Australia.

“Onsite ialah pemimpin dalam pasaran sewaan peralatan perlombongan dan pembinaan. Memandangkan permintaan kukuh dalam sektor ini di Australia, kami berharap Onsite akan menyumbang kepada pendapatan kumpulan, sambil kami meluaskan kawasan operasi kami bagi bahagian perindustrian,” katanya.

Untung sebelum faedah dan cukai (PBIT) kumpulan untuk bahagian perindustrian melonjak sebanyak 57.3 peratus kepada RM236 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023, terutamanya disokong oleh untung lebih tinggi daripada Australasia.

Peningkatan itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh perolehan hasil yang lebih tinggi daripada bahagian alat ganti, disokong oleh kenaikan harga alat ganti dan permintaan lebih tinggi bagi khidmat penyenggaraan peralatan perlombongan.

Dalam bidang automotif, PBIT menyusut 28.3 peratus kepada RM170 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 ekoran untung lebih rendah dari China, disebabkan penyusutan marjin.

Kesannya ditampung sebahagiannya oleh keputusan yang kukuh daripada operasi Malaysia dan Singapura.

Jeffri berkata, Sime Darby telah mula menceburi pasaran automotif Indonesia menerusi usaha sama terbaharunya, PT Performance Motors Indonesia sebagai satu langkah strategik untuk terus mengukuhkan kedudukan serantau.

Beliau berkata, langkah itu menandakan pembabitan sulung konglomerat itu di Indonesia dalam bidang automotif, dengan matlamat mengukuhkan kedudukan di pasaran itu.

Katanya, Sime Darby baru-baru ini turut mengumumkan kerjasama dengan Chery Automobile bagi pemasangan kenderaan Chery di kemudahan pengeluaran dan pemasangan kenderaan bermotornya, Inokom di Kulim, Kedah.

“Kerjasama ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mengembangkan portfolio pemasangan kenderaan kami.

“Kami kini sedang menggiatkan lagi dua perniagaan teras, iaitu automotif dan perindustrian dan kami yakin bahawa terdapat potensi besar dalam jangka pertengahan hingga panjang bagi bahagian-bahagian ini di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2023, untung bersih kumpulan meningkat 1.3 peratus kepada RM836 juta berbanding setahun lalu.

Hasil bagi tempoh sembilan bulan naik sebanyak 10.6 peratus kepada RM35 bilion. – MalaysiaGazette