IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah memperkenankan pengamal media di negeri ini diberi penghormatan membaca khutbah Jumaat di beberapa masjid di Perak esok, bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA).
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Mohd Annuar Zaini dalam kenyataan berkata ia bagi mengiktiraf peranan penting golongan itu kepada negara.
“Baginda telah menitahkan supaya khutbah Jumaat di negeri Perak pada 26 Mei (esok) bertemakan ‘Kewartawanan: Menyempurnakan Tugas Berlandaskan Nilai-nilai Islam’. Baginda turut memperkenankan para pengamal media diberikan penghormatan membaca khutbah Jumaat di masjid-masjid di negeri Perak pada 26 Mei (esok),” katanya.
“Sultan Nazrin Shah turut memberi perkenan kepada Editor Rencana Agama dan Sastera Berita Harian Mohd Nazmi Yaacob untuk membaca khutbah Jumaat di Masjid Negeri (Masjid Sultan Idris Shah II), esok.
“Wartawan Sinar Harian Perak Saifullah Ahmad pula akan membaca khutbah di Masjid Sultan Azlan Shah Ipoh dan Penerbit Rancangan RTM Perak Mohd Fahmi Mohd Nor akan menyampaikan khutbah di Masjid Muhibbuddin Shah Ipoh,” katanya.
Majlis Kemuncak HAWANA 2023 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Mei.
— BERNAMA