SHAH ALAM – Isu penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam boleh dibahaskan kelompok ilmuwan namun ia harus dilakukan secara tertutup.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun perbahasan mengenai itu tersebut perlu dilakukan secara berhati-hati dan tidak mengelirukan umat Islam di negara ini.
“Boleh bahas tapi dalam majlis tertutup, tapi tidak patut mengelirukan umat.
“Tetapi kita masih dituduh sebagai menggadaikan dan mengkhianati amanah dan sebagainya.
“Perkara ini berlarutan padahal ditumpu perhatian mengangkat martabat umat melalui kefahaman Islam, akhlah dan nilai,” katanya pada program Muzakarah Ulama’-Umara di sini, hari ini.
Majlis anjuran Kerajaan Negeri Selangor itu turut mengundang bekas Mufti Agung Mesir, Syeikh Dr. Ali Jum’ah serta Pengasas dan Pengetua Darul Musthafa, Tarim, Yaman, Al-Habeeb Umar Hafiz.
Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama mereka.
Notis pemberhentian rayuan tersebut telah difailkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 18 April lalu.
Notis itu antara lain menyatakan, KDN dan Kerajaan Malaysia tidak berniat untuk meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos.
Menurut Anwar, langkah kerajaan itu adalah selari dengan keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Raja-Raja Melayu dan para mufti yang sepakat dalam soal penggunaan kalimah Allah itu.
“Isu Allah di Malaysia ini, memang kita tahu debatannya panjang, saya berhadapan serangan peribadi tetapi sudah rujuk, para mufti sudah putuskan Raja-Raja Melayu sudah putuskan.
“Kita mengambil ketetapan, ikutlah supaya aman, dan tidak lagi berpecah dalam soal itu,” katanya.
Beliau mengulangi ketegasannya bahawa hanya umat Islam di Semenanjung boleh menggunakan nama Allah bagi mengelakkan kekeliruan.
“Masalah dakyah agama lain, tidak diizinkan, kemudian untuk Sabah dan Sarawak, ada sedikit kelonggaran dengan syarat-syarat yang ketat supaya tidak akan timbul kekeliruan.
“Saya sudah jelaskan di Parlimen berulang-ulang, itu keputusan.
“Sebab itu tidak ada rayuan dalam kes yang melibatkan Sarawak kerana sesuai dan selari dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang kerajaan sekarang manfaatkan,” katanya.
Katanya, isu penggunaan kalimah Allah itu perlu dibahaskan dalam kalangan ilmuwan, apatah lagi melibatkan golongan agamawan seperti ulama.
“Kita bertambah yakin kalau orang itu benar-benar berilmu dan masuk kategori ulama yang sebenar.
“Ia tidak membimbangkan dan tidak membawa politik adu domba atau perpecahan atau permusuhan.
“Mereka ini lebih kepada didikan, kasih sayang, dalam erti kata sebenar,” katanya. – MalaysiaGazette