ALOR SETAR – Seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dipercayai hilang semasa mendaki Telaga Tujuh, Gunung Matchincang di Langkawi petang semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata polis menerima laporan berhubung kehilangan Mohd Ridhaudden Rosman, 32, yang bertugas di Bahagian Cari Lamat dan Bantuan Bencana (SAR) APMM Putrajaya itu pada pukul 12.47 tengah malam tadi.
“Motosikal yang digunakan (Mohd Ridhaudden) masih berada di kawasan letak kereta Telaga Tujuh dan kali terakhir dia memuat (naik) status (dalam media sosial) tiba di puncak Telaga Tujuh lebih kurang pukul 4.45 petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shariman berkata pegawai APMM yang berada di Langkawi sempena penugasan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23) itu turut berkomunikasi dengan isterinya melalui aplikasi WhatsApp pada pukul 5.15 petang.
“Dia (dipercayai) pergi (mendaki) sendiri dan bukannya atas tugas,” kata Shariman yang turut memaklumkan operasi mencari dan menyelamat pegawai itu melibatkan kekuatan aset darat dan udara.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat membabitkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), APMM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) iaitu seramai 23 pegawai dan 68 anggota selain 15 orang awam yang mahir tentang laluan kawasan Telaga Tujuh itu.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata pegawai itu dipercayai menuju ke lokasi pendakian selepas tamat penugasan pada tengah hari semalam sebelum tidak dapat dikesan rakan sebiliknya berdasarkan maklumat awal diterima pihaknya.
“Sepatutnya ada program malam (yang perlu beliau hadir bertugas) tetapi beliau tidak hadir dan rakan sebiliknya cuba menghubunginya tetapi tidak dapat dikesan, maka mengesyaki sesuatu tidak baik berlaku dan kita menghantar anggota APMM untuk mencari dia.
“Setelah mencari di beberapa lokasi, kita menjumpai motosikal yang dipercayai dibawa oleh dia yang dipinjam daripada kawannya di sini (Langkawi) di kaki Gunung Matchincang dekat dengan kawasan Telaga Tujuh ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi.
Saiful Lizan berkata khidmat malim gunung juga digunakan untuk mencari pegawai berkenaan sepanjang malam tadi termasuk pencarian di laluan yang dirasakan dilalui Mohd Ridhaudden.- BERNAMA