SINTOK – Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan mengajak keluarga besar warga universiti itu untuk menyambungkan silaturahim dengan masyarakat di sekitarnya.
Justeru, katanya, semangat kekitaan keluarga besar UUM perlu diterapkan terlebih dahulu kerana keharmonian sesebuah organisasi akan memancarkan semangat persaudaraan merentas kampus UUM Sintok.
“Hubungan yang erat dan harmoni dengan komuniti setempat perlu diterapkan agar tiada jurang yang jauh bagi memastikan masyarakat setempat memperoleh faedah dengan kewujudan UUM ini.
“Saya dan Pengurusan Tertinggi UUM ingin menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua warga UUM dan juga kepada masyarakat komuniti setempat yang turut hadir memeriahkan majlis,” katanya dalam Majlis Silaturahim Aidilfitri 2023 UUM di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah, baru-baru ini.
Dr. Mohd Foad berharap majlis seumpama ini memberi peluang kepada semua warga UUM dan masyarakat setempat serta komuniti untuk merapatkan silaturahim serta mewujudkan semangat kekeluargaan, kerjasama dan mengukuhkan perpaduan.
“Bersyukur atas rahmat Allah, semoga kita semua tergolong dalam kalangan orang-orang yang sentiasa bersyukur dan diterima amalan kita sepanjang bulan Ramadan yang telah meninggalkan kita.
“Mood Hari Raya Aidilfitri masih segar, sambutan bulan Syawal sebagai lambang dan simbolik yang menterjemahkan budaya masyarakat Melayu dalam konteks mengeratkan hubungan silaturahim yang sedia terjalin,” katanya. – MalaysiaGazette