MELAKA – “Sebelum kejadian, arwah ada datang minta saya 20 sen untuk beli aiskrim dan selepas memberinya duit, saya minda dia segera pulang ke rumah mak saya tidak jauh dari situ kerana cuaca panas.
“Kemudian, tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi riuh beberapa meter ke arah padang dan sebaik tiba saya dapati anak saya sudah dilanggar sebuah lori,”.
Itu diceritakan Muhamad Qayyum Abdul Aziz, 37, mengenai kejadian yang menimpa anaknya, Nur Qayra Quraisya, 5, yang meninggal dunia akibat digilis sebuah lori ketika bermain berhampiran rumahnya di Kampung Paya Mengkuang, Batang Tiga, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian pukul 5.25 petang itu, mangsa, anak bongsu daripada tiga beradik disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan akibat parah di kepala.
Menurut Qayyum, kejadian berlaku begitu pantas dan tidak menyangka pemberian 20 sen itu adalah kali terakhir dia melihat anaknya itu yang mesra disapa panggilan manja, Adik.
“Kejadian berlaku tidak jauh dari rumah ibu saya dan memang menjadi rutin harian selepas pulang dari Tadika, dia akan ke rumah neneknya, tapi petang tadi (semalam) adalah yang terakhir,” katanya ketika di temui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka, malam tadi.
Bercerita lanjut, pekerja kontrak itu berkata, sejak seminggu lalu, arwah menunjukkan perubahan sikap apabila sering merengek memintanya memenuhi hajatnya yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini membuatkan dia berasa pelik.
“Tindakannya itu agak menguji kesabaran saya sedangkan sebelum ini tidaklah sampai begitu namun saya tidak marah dan cakap baik-baik dengannya.
“Rupa-rupanya, itulah petanda dia akan meninggalkan kami sekeluarga,” kata Muhamad Qayyum sambil menambah anak sulung perempuannya berusia 13 tahun.
Menurutnya dia dan isteri, Faezah Kadir, 38, redha dengan kejadian itu dan memohon rakyat terus mendoakan ketabahan mereka menghadapi ujian ini.
“Saya harap, janganlah buat macam-macam andaian yang hanya akan memburukkan keadaan kami sekeluarga,” katanya sambil menambah jenazah dikebumikan di Kampung Padang, Malim di sini awal pagi tadi – MalaysiaGazette.