KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan menyekat penularan video ajaran sesat yang didakwa melibatkan sebuah sekolah pondok atau pesantren di Indramayu, Jawa Barat, Indonesia.
Menterinya, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, pihaknya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sudah mengenal pasti kewujudan video terbabit di media sosial.
Bagaimanapun, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan majlis-majlis agama berkaitan dalam usaha mengenal pasti dan mengekang penularan itu.
“Kita akan pastikan penularan ini bukan hanya disekat tetapi mereka yang terlibat dalam penularan itu juga boleh diambil tindakan.
“Jadi, sebab itu kenapa kita sentiasa beri peringatan untuk elakkan daripada menyebar bahan fitnah, melibatkan 3R (raja, agama dan kaum) termasuklah ajaran sesat.
“Susulan itu, kita akan terus memantau, bila kita terima permohonan ataupun permintaan untuk ambil tindakan SKMM akan segera berhubung dengan penyedia perkhidmatan platform tersebut,” katanya selepas merasmikan pelancaran IWK Eco Park@Pantai Dalam malam ini.
Terdahulu, seorang selebriti dari Indonesia, Lucky Hakim mendedahkan terdapat ramai rakyat Malaysia hadir pada majlis tersebut.
Aktiviti di pusat pengajian itu hangat diperkatakan oleh rakyat Indonesia selepas beberapa kontroversi tercetus.
Antaranya, saf solat sunat Aidilfitri dalam keadaan jarak selain bercampur antara jemaah lelaki dan wanita sekaligus menimbulkan kebimbangan netizen.
Dalam pada itu, Ahmad Fahmi berkata, pihaknya turut mendapati terdapat beberapa penyedia perkhidmatan platform yang proaktif dalam memberi kerjasama kepada pihak KKD antaranya TikTok dan Facebook.
“Namun ada juga platform yang kurang memuaskan seperti Twitter dan Telegram. Kalau kita lihat Telegram antara yang paling bermasalah pada waktu ini.
“Kita dengar bukan hanya isu penularan video seperti itu (ajaran sesat) sahaja tapi juga penyematan maklumat.
“Contohnya group-group investment scam, group yang menjual dadah dan ada juga aduan yang saya terima oleh Malaysian Medical Association (MMA) yang mengadu bahawa platform itu disalah guna untuk menjual point di mana doktor perlu kumpul setiap tahun untuk professional advancement,” jelasnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
JAKIM siasat rakyat Malaysia jadi pengikut ajaran salah di Indonesia