KUALA LUMPUR – Pembahagian kerusi untuk Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri belum dimuktamadkan.
Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin, rundingan kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan memuktamadkan rundingan kerusi-kerusi di PRN pada minggu depan.
“Belum muktamad dan di peringkat negeri diminta bincang dan belum diputuskan. Akan dimuktamadkan penghujung bulan ini,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri mesyuarat MKT UMNO malam tadi.
Untuk rekod, negeri Selangor dan Kelantan dijangka menjadi negeri terawal membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ini berdasarkan kepada tempoh penggal DUN Selangor yang berakhir pada 25 Jun manakala tempoh penggal DUN Kelantan tamat pada 26 Jun diikuti Terengganu yang berakhir pada 30 Jun ini.
Dalam pada itu, Bung Moktar berkata, mesyuarat yang diadakan malam ini menjurus kepada perancangan kepimpinan utama yang memenangi kerusi selepas Pemilihan UMNO.
“Mesyuarat selepas Pemilihan UMNO sudah tentu kita mahu dengar daripada pemegang jawatan dan perancangan masa depan untuk memperkasakan parti untuk berhadapan dengan PRN,” ujarnya.
Ditanya mengenai langkah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti, Bung Moktar berkata, UMNO Sabah sememangnya menunggu-nunggu kelulusan berkenaan.
“Kita (UMNO Sabah) memang menunggu akta ini dibentangkan sebab sebelum ini banyak ADUN yang melompat. Jadi kita tidak mahu ADUN melompat lagi,” katanya.
Semalam, DUN Sabah meluluskan RUU Perlembagaan Negeri Sabah bagi mewujudkan larangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertukar atau melompat parti.
RUU membabitkan peruntukan larangan ADUN bertukar parti itu diluluskan melalui undian belah bahagian oleh 75 ADUN yang menghadiri sidang DUN. – MalaysiaGazette