Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bimbang kekurangan bekalan gula putih yang berlaku sekarang akan berlarutan kerana ada sesetengah pihak yang mahu mengaut keuntungan daripada penjualan gula putih bertapis putih.

Sehubungan itu, Pegawai penyelidik Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S. Ganesan meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memastikan bekalan gula putih mencukupi.

“Pendirian CAP memang tidak setuju dengan penggunaan gula putih dalam kehidupan seharian namun kini situasinya berbeza apabila gula putih bertapis jernih pula diperkenalkan.

“Jadi kita harap penguatkuasa KPDN peka dalam isu ini agar rakyat tidak terbeban disebabkan penjualan gula putih bertapis jernih,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Ganesan, pihaknya tidak menolak kemungkinan kekurangan bekalan gula  berlaku disebabkan tindakan setengah pihak yang menyorok serta menyekat bekalan itu untuk mencetuskan krisis komoditi itu dalam pasaran.

“Pihak berwajib harus memainkan peranan dengan melancarkan operasi dan membawa mereka yang sengaja menyorok bekalan gula ke muka pengadilan.

“Kita percaya penguatkuasaan yang cekap mampu menangani krisis gula daripada berlarutan.

Media semalam melaporkan Kerajaan telah membenarkan dua syarikat pengeluar gula tempatan MSM Malaysia Holdings Bhd dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) untuk mengeluarkan gula putih bertapis jernih, berkuat kuasa hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kebenaran itu akan memberikan pilihan gula kepada pengguna, selain gula putih bertapis kasar dan halus sedia ada yang disifatkan sebagai ‘gula rakyat’.

Beliau menegaskan penjualan gula putih bertapis jernih tidak boleh menggantikan bekalan gula putih sedia ada, dan syarikat bakal berdepan tindakan jika tidak mengeluarkan bekalan gula putih sedia ada yang mencukupi. – MalaysiaGazette