KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan setinggi-tinggi tahniah kepada Recep Tayyip Erdogan atas pemilihan semula sebagai Presiden Turkiye.
Menerusi hantaran di Facebook Istana Negara, Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar Malaysia dan Turkiye dapat terus bekerja rapat bagi membawa kemajuan dan kemakmuran untuk kedua-dua negara dan rakyatnya.
Al-Sultan Abdullah juga berkenan mengutus warkah ucapan tahniah secara peribadi kepada Erdogan.
Ahad lalu, Erdogan memenangi pilihan raya penentu dengan menewaskan pencabarnya Kemal Kilicdaroglu.
Malaysia dan Turkiye telah menjalin hubungan diplomatik sejak 1964.
Pada tahun lalu, Turkiye adalah rakan dagang serta destinasi eksport terbesar Malaysia dan sumber import keenam paling utama dalam kalangan negara Asia Barat. – MalaysiaGazette