FGV

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM60 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (Q1 FY2023).

Keuntungan operasi yang direkodkan sebelum perubahan nilai saksama Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dan kemerosotan nilai sebanyak RM102 juta meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran seperti keadaan pasaran yang mencabar, margin keuntungan menipis bagi sektor peladangan, serta kos pengeluaran yang meningkat di sektor gula.

Sektor logistik mencatatkan keuntungan yang lebih tinggi berbanding tahun lepas hasil daripada peningkatan pendapatan sewa tangka, minyak premium serta perkhidmatan angkutan.

“FGV berjaya mencatatkan keuntungan bagi suku pertama tahun 2023, meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran seperti penurunan harga pasaran minyak sawit mentah (MSM).

Menurutnya, FGV menjangkakan pengeluaran TBS bertambah baik tahun ini dengan penambahan pekerja asing yang akan memberi kesan positif kepada prestasi operasinya.

Bagi sektor perladangan, FGV mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM82 juta bagi suku ini.

Operasi huluan terkesan dengan margin produk sawit yang lebih rendah akibat kenaikan 45 peratus untuk kos CPO Ex-Mill kepada RM2,944 per Tan Metrik (MT) disebabkan kenaikan kos pembajaan, penyelenggaraan dan tenaga kerja.

Namun, ia terus kukuh walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti kekurangan tenaga kerja mahir serta cuaca buruk di Johor, Sabah dan wilayah Pantai Timur.

Pengeluaran tandan buah segar (TBS) mencatatkan penurunan 1 peratus kepada 0.82 juta per MT bagaimanapun, hasil sawit mengalami sedikit kenaikan kepada 3.04 MT/Ha hasil daripada perluasan kawasan sawit matang serta peningkatan tenaga kerja bagi aktiviti penuaian.

Pengeluaran MSM meningkat sebanyak 4 peratus dan mencapai 0.59 MT, selari dengan peningkatan pengeluaran TBS sebanyak 2.97 juta MT. Peningkatan ini juga membawa kepada kenaikan 13 peratus bagi Faktor Penggunaan (UF) bagi suku ini. Bagi pemprosesan TBS, 0.80 juta MT (27 peratus) telah dihasilkan secara dalaman, manakala 1.28 juta MT (43 peratus) diperoleh daripada peneroka FELDA, dan 0.89 juta MT (30 peratus) diperoleh daripada pihak ketiga.

Namun, cuaca buruk dan TBS kurang matang menyebabkan kadar jumlah perahan minyak (OER) yang diperoleh secara dalaman dan pihak luar mengalami penurunan sebanyak 2 peratus dan membawa kepada kadar 19.81 peratus bagi suku ini.

Bagi operasi hiliran, FGV mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM19 juta bagi suku ini dengan kadar penjualan minyak dan lelemak sawit mengalami peningkatan sebanyak 3 peratus, hasil daripada peningkatan permintaan daripada segmen eksport dan pembungkusan.

Kadar penjualan biodiesel juga mengalami peningkatan sebanyak 42 peratus, hasil kenaikan permintaan dan pemulihan ekonomi negara walaupun, volum jualan oleokimia menurun sebanyak 19 peratus akibat kekurangan permintaan untuk asid lelemak dari semua segmen pasaran.

Sektor logistik mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM32 juta, peningkatan sebanyak 19 peratus dibandingkan dengan RM27 juta bagi suku pertama tahun lepas disebabkan oleh peningkatan daripada pendapatan sewa tangka, minyak premium serta angkutan muatan.

Volum pukal menurun sebanyak 2 peratus disebabkan hasil pengendalian pemprosesan yang lebih tinggi, manakala volum pengangkutan meningkat sebanyak 10 peratus dan menyumbang kepada peningkatan berat tan.

Sementara itu, sektor gula melaporkan kerugian RM24 juta berikutan penurunan hasil tahun ke tahun sebanyak RM588 juta daripada RM593 juta pada tahun sebelumnya, disebabkan pengurangan kadar jualan eksport untuk mengutamakan permintaan jualan tempatan.

Sektor ini menghadapi kos pengeluaran yang lebih tinggi didorong oleh pertukaran asing sebanyak 5.2 peratus lebih tinggi dan peningkatan kos gas sebanyak 65 peratus yang mengakibatkan kos penapisan lebih tinggi. – MalaysiaGazette