Tertuduh, Muhammad Farhan Abdul Rashif, 35, mengaku tidak bersalah sebaik lima pertuduhan memijak, menumbuk, menampar dan memukul empat pelajarnya sehingga cedera sejak Februari lalu.

MELAKA – Seorang warden sebuah pusat tahfiz didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan memijak, menumbuk, menampar dan memukul empat pelajarnya sehingga cedera sejak Februari lalu.

Tertuduh, Muhammad Farhan Abdul Rashif, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik lima pertuduhan dibacakan dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Mohd. Sabri Ismail.

Mengikut dua pertuduhan di hadapan Darmafikri, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas dua pelajarnya berusia 14 tahun empat bulan dan 14 tahun 11 bulan tertuduh didakwa telah mendedahkannya kepada bahaya.

Mangsa telah ditampar serta ditumbuk pada bahagian pipi, perut ditendang dan dipijak pada dada manakala seorang lagi mengalami kecederaan fizikal di bahagian kaki kanan.

Semua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah guru di pusat tahfiz dalam daerah Melaka Tengah pada 7 dan 8 Mei lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM50,000 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama 31(2) akta sama.

Dalam prosiding lain, tertuduh turut berdepan tiga lagi pertuduhan di bawah seksyen sama di hadapan Hakim Mohd. Sabri melibatkan dua pelajarnya berusia 15 tahun ketika kejadian.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan telah mendedahkan remaja itu kepada bahaya dengan menampar pipi dan memukul badan mangsa menggunakan rotan manakala memijak seorang lagi di bahagian perut.

Kesalahan itu dilakukan di surau dan gelanggang bola pusat tahfiz sama pada pertengahan Februari dan 10 Mei lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari dan Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan sebarang jaminan demi keselamatan mangsa dan tertuduh yang merupakan warga Singapura dikhuatiri akan pulang ke negara asalnya dalam tempoh prosiding.

Peguam, Faathir Imran merayu dibenarkan jaminan kerana pusat tahfiz berkenaan sudah pun ditutup dan semuja pelajar telah pulang tinggal bersama keluarga masing-masing.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, kedua-dua pihak penghakiman tidak memberikan jaminan. Kes akan disebut semula 26 Jun ini.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pengasas tahfiz terkenal di Melaka bersama adiknya yang juga warden pusat berkenaan ditahan selepas dipercayai terlibat melakukan jenayah seksual dan mendera enam pelajar lelakinya.

Kejadian itu terbongkar selepas pihak polis menerima laporan daripada enam mangsa terhadap pengasas yang juga mudir pusat tahfiz berkenaan yang mempunyai rekod lampau atas dakwaan melakukan amang seksual fizikal dan liwat pada tahun 2019. – MalaysiaGazette