SEPANG – Kumpulan syarikat penerbangan AirAsia dianugerahkan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia oleh AirlineRatings.com pada Anugerah Kecemerlangan Syarikat Penerbangan tahunannya.
Pengiktirafan itu mencakupi AirAsia Malaysia, AirAsia Thailand, AirAsia Filipina dan kumpulan syarikat penerbangan jarak sederhana AirAsia X Malaysia dan AirAsia X Thailand
Dilancarkan pada tahun 2001 oleh Datuk Kamarudin Meranun dan Tan Sri Tony Fernandes dengan hanya dua buah pesawat, AirAsia mengalami pertumbuhan menakjubkan sejak dua dekad lalu dan menjadi mendominasi rantau Asia, serta mempunyai jumlah pesawat dan destinasi terbesar di rantau ini.
Kecemerlangan syarikat penerbangan yang berpangkalan di Asean ini adalah salah satu kisah kejayaan besar industri penerbangan. Lebih-lebih lagi apabila ia terpaksa menghadapi pelbagai krisis, ditambah pula dengan cabaran kekangan oleh kerajaan tempatan untuk melindungi syarikat penerbangan nasional masing-masing.
Syarikat-syarikat penerbangan di bawah Kumpulan AirAsia terus melakar sejarah dalam industri penerbangan di Asia dan global.
Ketua Pengarang AirlineRatings.com Geoffrey Thomas menyifatkan kemenangan tersebut “amat wajar.”
“Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia Benyamin Ismail telah melakukan tugas yang cemerlang dalam membimbing kumpulan syarikat penerbangan ini untuk mendominasi pasaran mereka.
“Kumpulan syarikat penerbangan ini telah menjadikan perjalanan mampu milik untuk ratusan juta penumpang di seluruh Asia, dan mereka menawarkan nilai yang luar biasa serta pengalaman perjalanan yang hebat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata: “Kami berasa rendah diri untuk menerima anugerah ini selepas melalui antara cabaran terbesar dalam sejarah industri penerbangan dan kami berterima kasih kepada pakar di AirlineRatings.com atas sokongan berterusan mereka dan menghargai kecemerlangan penerbangan.”
Katanya, sebagai sebuah platform ekosistem penerbangan dan pengembaraan terkemuka, AirAsia akan terus memberikan nilai terbaik merentas semua perniagaan termasuk platform airasia Superapp (yang mempunyai syarikat penerbangan, hotel, e-panggilan, makanan), teknologi kewangan, penyelenggaraan pesawat, dan kargo, yang merupakan antara yang paling pesat berkembang di rantau Asia Tenggara.
Perkembangan memberangsangkan itu itu turut mendapat ulasan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail.
Beliau yang mengalu-alukan pencapaian itu berjanji akan sentiasa menumpukan pengalaman perjalanan terbaik dari segi keselamatan dan tambang berpatutan untuk penerbangan jarak sederhana melebihi lima jam merentasi Asia Pasifik dan seterusnya.
“Kini, kami telah melancarkan semula destinasi paling popular kami ke India, Korea Selatan, Australia, Jepun, China dan New Zealand dan mempunyai banyak lagi destinasi menarik yang akan diumumkan tidak lama lagi untuk memenuhi peningkatan permintaan.
“Ciri Premium Flatbed kami yang merupakan antara tempat duduk kelas perniagaan kos rendah terbaik dan perkhidmatan dalam penerbangan kami yang luar biasa adalah salah satu kenapa para tetamu terus terbang bersama kami.
“Kami juga ingin berterima kasih kepada pasukan di AirlineRatings.com atas sokongan berterusan mereka mengiktiraf kami sekali lagi sebagai antara syarikat penerbangan terkemuka dalam kategori kami,” katanya. – MalaysiaGazette