KUALA LUMPUR – Enam petugas Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengalami cedera ringan selepas bumbung Dewan Besar IKIM di Blok B, premis IKIM di Langgak Tunku, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, runtuh dalam kejadian pada 11.55 pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.56 pagi dan seramai 15 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas dan BBP Hang Tuah dikerah ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian pada 12.13 tengah hari, didapati runtuhan melibatkan keseluruhan bumbung dewan dan seramai enam kakitangan wanita berumur 30 hingga 50 tahun yang berada di kawasan kejadian didapati mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya operasi ditamatkan pada 12.51 tengah hari dan punca runtuhan masih dalam siasatan.
Sementara itu Ketua Pengarah IKIM Prof Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dalam kenyataan memaklumkan kejadian berlaku ketika beberapa kakitangannya sedang melakukan latihan bagi penganjuran program Tribute Tan Sri Mohd Kamal Hassan yang dijadualkan pada 2 Jun ini di dewan yang sama.
“Hal itu turut disedari kakitangan yang berada di blok yang lain ekoran bunyi dentuman yang kuat. Pihak IKIM kemudian mengambil langkah segera dengan mengalihkan mangsa dari tempat kejadian, selain menghubungi pihak bomba, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan polis untuk tindakan sewajarnya,” katanya.
Susulan insiden itu, beliau berkata IKIM memohon Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar runtuhan bumbung itu.
Katanya, Dewan Besar IKIM itu dibina pada 1993 dan dalam tempoh sehingga kini penyelengaraan kecil sentiasa dilaksanakan di premis berkenaan seperti menukar bumbung bocor.- BERNAMA
Betapa bagusnya kontraktor yg mengawal selia semasa proses pembaikan..siapakan jurubina nya patut dipertanggungjawabvdan dibawa ke pengadilan.