Pas Kit Siang
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang mendakwa Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin tersilap apabila mengatakan beliau yang terlebih dahulu menjemput parti itu menyertai Kerajaan Perpaduan.

Menurut beliau, maksud kenyataannya pada 18 Mei lalu adalah merujuk kepada cadangan kerjasama antara kerajaan negeri pimpinan Pas dan kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu air dan kekurangan pembangunan yang berlanjutan selama 60 tahun di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Kit Siang sekali lagi menjelaskan bahawa ia adalah cadangan peribadinya dan bukannya cadangan rasmi DAP memandangkan beliau tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam parti itu termasuk Penasihat.

“Namun, Ketua Penerangan Pas berfikir sebaliknya. Adakah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersetuju dengan Ketua Penerangannya?” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, Khairil Nizam mendakwa, Kit Siang yang terlebih dahulu mengajak Pas untuk menyertai Kerajaan Perpaduan kerana kedudukan kerajaan amat genting sekarang, apatah lagi berlaku penolakan orang Melayu terhadap UMNO.

Dalam kenyataan media kelmarin, Kit Siang turut melontarkan tiga cadangan kepada Abdul Hadi iaitu menarik semula tuduhan liar terhadap DAP dan memohon maaf dan Ahli-ahli Parlimen Pas berhenti memainkan isu perkauman dan keagamaan.

Cadangan ketiga adalah berkaitan sokongan Pas terhadap matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara contoh dialog, persefahaman, toleransi dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.

Sehubungan itu, Kit Siang menyerahkan kepada Abdul Hadi untuk menjelaskan sama ada beliau memikirkan cadangan-cadangan tersebut adalah yang rasmi bagi pihak Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Biar jelaskan sama ada dia akan menerima tiga cadangan saya sebelum Pas boleh menyertai Kerajaan Perpaduan Anwar ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast