BAYAN LEPAS – Kementerian Sumber Manusia (KSM) memandangkan serius isu lambakan pekerja asing yang dibawa masuk ke negara ini tanpa sebarang tawaran pekerjaan.
Menterinya, V.Sivakumar berkata, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) memastikan jaminan pekerjaan terhadap yang dibawa masuk ke negara ini.
“Memang KSM sangat prihatin tentang perkara ini (lambakan pekerja asing dibawa masuk namun tiada pekerjaan ditawarkan).
“Jadi saya telah arahkan JTK memastikan tiada mana-mana majikan membawa pekerja asing masuk secara sewenang-wenangnya kalau mereka (pekerja asing) tidak mempunyai pekerjaan di sini.
“Tindakan berhubung isu ini telah diambil dan kita juga akan pastikan perkara yang sama tidak berulang lagi pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lambakan pekerja asing yang mendakwa mereka telah membayar levi untuk bekerja di negara ini namun tiada pekerjaan ditawarkan apabila mereka tiba.
Terdahulu Sivakumar hadir majlis perasmian National Human Capital Conference & Exhibition (NHCCE) 2023 – Wilayah Utara, yang dianjurkan oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp) di Pusat Konvensyen Setia SPICE di sini, hari ini.
Perasmian majlis itu disempurnakan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Pada 11 Mei lalu media melaporkan, kira-kira 500 pekerja asing dari Nepal dan Bangladesh mengeluh serta putus harapan selepas gagal mendapatkan pekerjaan seperti dijanjikan oleh ejen pengambilan pekerja asing yang dibayar ribuan ringgit.
Rata-rata mereka mendakwa tiba di negara ini sejak Disember lalu dan terpaksa menghabiskan hari-hari mereka di bilik asrama yang sesak atau di kafeteria terbuka yang terletak 40km dari Kuala Lumpur.
Susulan itu, Jabatan Tenaga Kerja mengumumkan akan menyekat dan melucutkan lesen firma daripada agensi pengambilan yang terlibat dalam pengambilan pekerja asing tetapi membiarkan mereka terkandas tanpa memberikan pekerjaan di negara ini. – MalaysiaGazette