TANJUNG MALIM – Kolokium Pemimpin Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) selepas program pengucapan awam itu berjaya berlangsung selama 36 jam tanpa henti.
Pengarah Program, Siti Fairuz Rohaliza Ejahar, 24, berkata program anjuran Kolej Aminuddin Baki UPSI dengan kerjasama Gerakan Mahasiswa Perak itu berlangsung selama tiga hari bermula 30 Mei mengumpulkan seramai 250 pemidato.
“Program ini memfokuskan kepada aspek kepimpinan yang mana pemidato dalam kalangan mahasiswa universiti, pelajar sekolah rendah dan menengah, pemimpin tempatan, serta orang awam yang bersemangat untuk bersama beradu idea menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
“Penganjuran program ini bagi memberi peluang kepada para belia untuk menyuarakan idea dan pendapat mereka mengenai kepimpinan. Ia diharapkan dapat menjadi platform terbaik dalam mencungkil bakat-bakat kepimpinan belia di negeri ini khususnya,” katanya kepada Bernama pada Majlis Penutupan Program Kolokium Pemimpin UPSI di Auditorium Utama UPSI, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin dan Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr Md Amin Md Taff.
Terdahulu, pengikitirafan MBOR telah disampaikan oleh Konsultan Kanan Rekod MBOR, Siti Hajar Johor kepada Md Amin.
Sementara itu, Siti Fairuz Rohaliza, yang juga pelajar semester enam dari Fakulti Pembangunan Manusia, berkata idea penghasilan program tersebut tercetus apabila rakan-rakannya bertanyakan bagaimana untuk menglibatkan diri dalam program belia memandangkan beliau merupakan alumni Felo Perdana.
“Sekarang ini negara pun mencari pemimpin muda jadi saya mahu mengadakan satu platform dan pentas untuk orang ramai mengetengahkan idea masing-masing,”katanya.
Sementara itu, seorang pemidato dari Fakulti Sains dan Matematik, Mohamad Danial Ahmad Razmi, 23, berkata pengalaman pertamanya menyertai program ini menjadi pengalaman yang paling berharga dan tidak dapat dilupakan.
Seorang lagi pemidato dari semester dua, Fakulti Sains dan Matematik, Magdeline Mega Frank Nugal, 21, berkata beliau akan menyertai lagi program sebegini jika ada peluang di masa hadapan.
“Yang membuatkan saya berminat untuk sertai porgram ini kerana ia merupakan pengucapan awam selama 36 jam tanpa henti. Program ini bukan pertandingan, jadi semua peserta bebas untuk menyatakan pandangan masing-masing berkaitan kepimpinan,” katanya.- BERNAMA