Kompleks Mahkamah Indera Mahkota, Kuantan.

KUANTAN – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan perintah gag (gag order) berkuat kuasa hari ini berhubung kes jagaan kanak-kanak Orang Asli yang diperintahkan untuk berada dalam jagaan bapa kandungnya.

Ia selepas perintah habeas corpus terus berjalan sejak diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei lalu.

Perkara tersebut disahkan oleh kedua-dua peguam pemohon dan responden hari ini ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuantan.

Perintah gag adalah satu perintah yang menghalang maklumat daripada disebarkan atau dikomen daripada atau oleh orang awam dan ia dikeluarkan oleh kerajaan dan mahkamah.

Perintah gag tersebut diputuskan Hakim Datuk Zainal Azman Ab Azizi menerusi prosiding berlangsung selama 20 minit hari ini.

Seramai empat peguam dilantik dari Jacob Goldie mewakili pemohon dan lapan peguam mewakili responden dari firma Zainul Rijal.

Peguam responden, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ketika ditemui berkata, permohonan perintah gag yang dilakukan untuk anak guamnya dan disokong oleh peguam pemohon.

”Pemohonan gag order tadi supaya tidak dilaporkan dan disokong oleh pihak pemohon. Kemudian mahkamah memerintahkan tidak menyiarkan apa-apa berkaitan kes ini,” katanya.

Manakala peguam pemohon, Datuk Jacob Goldie bersependapat dengan Zainul Rijal dan mengesahkan perkara itu.

Menurutnya, kedua-dua pihak tidak akan mengeluarkan kenyataan lagi berkaitan kes berkenaan melibatkan anak guam masing-masing.

“Semua kaunsel tertakluk kepada gag order yang dikeluarkan, jadi kami tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan prosiding berlangsung hari ini sehingga diberitahu kelak oleh mahkamah,” katanya.

Goldie turut menasihatkan supaya pihak media mendapatkan pandangan itu daripada pihak Pejabat Pendaftar Mahkamah ketika ditanya sama ada jika media boleh melaporkan perjalanan prosiding dalam kamar berikutan perintah itu dikuatkuasa.

Terdahulu kes berkenaan merupakan permohonan jagaan seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli oleh pemohon yang merupakan bapa kandungnya kepada Mahkamah Tinggi Kuantan.

Perintah habeas corpus dikeluarkan pada 25 Mei lalu memutusakan agar anak kandung kepada pemohon dan responden diserahkan kepada pemohon berkuat kuasa pada tarikh tersebut.

Manakala perintah gag yang dimohon oleh peguam responden kepada mahkamah agar tidak tidak menyiarkan sebaran nama, gambar, video kanak-kanak perempuan kepada kedua-dua anak guamnya termasuk pemohon dan repsonden telah berkuatkuasa.

Terdahulu, sejak Ahad lalu MalaysiaGazette melaporkan kemelut keluarga Orang Asli berkenaan hak jagaan selepas video bersama ibunya tular sehingga menimbulkan pelbagai reaksi masyrakat. – MalaysiaGazette