Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof bercakap kepada media selepas hadir pada Program Hari Terbuka Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia di Dewan Tan Sri Datuk Setia Dr. Ibrahim Lembut, Kompleks Islam Putrajaya, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 04 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan penulisan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai gambaran pemikirannya yang kerdil.

Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pemimpin Pas itu sanggup menggunakan hadis yang tidak sesuai demi menuduh Pakatan Harapan (PH) dan sebahagian pemimpin Melayu.

“Minda Presiden tulisan Hadi sering mempergunakan dalil agama dengan konteks yang salah untuk kepentingan Pas. Kali ini Hadi cuba menyatakan PH dan pemimpin Melayu (selain dirinya) berbohong.

“Tuduhan seperti ini cukup berat. Apatah lagi berdalilkan hadis yang tidak kena pada konteks dan tempatnya,” katanya menerusi kenyataan.

Tegas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu, pembentukan Kerajaan Perpaduan tidak terdorong berasaskan pembohongan seperti dakwaan Hadi, sebaliknya demi kepentingan yang lebih besar iaitu rakyat.

“Kerajaan Perpaduan adalah cerminan hasrat rakyat yang mendambakan kestabilan politik setelah tidak ada mana-mana pihak memiliki majoriti mudah membentuk kerajaan.

“Mendatangkan hadis tentang sifat keji berbohong yang dilarang oleh syariat bagi mewajarkan tuduhan kepada Kerajaan Perpaduan jelas sekali satu tindakan yang melambangkan kelemahan berfikir dan singkat pandangannya.

“Apakah Hadi cuba menafikan maslahah besar jauh lebih penting dari agenda sempit beliau? Bukankah dalam memahami prinsip syariat kita kena memahami prinsip maslahah sebagai salah satu sumber kita?

“Begitulah kerdilnya cara berfikir Presiden Pas dalam tulisannya sehingga beliau gagal melihat dunia yang lebih besar dari dirinya dan kelompoknya.

“Lebih malang beliau tergamak mendatangkan sabda junjungan mulia Nabi Muhammad SAW untuk mewajarkan tuduhannya yang tidak berasas itu,” katanya lagi.

Mengulas lanjut Mujahid menambah, maslahah merupakan sumber-sumber penetapan sikap syariat Islam bagi memelihara tujuan umum antaranya memelihara keamanan, kebajikan rakyat dan melantik kepimpinan negara.-MalaysiaGazette