KUALA LUMPUR – Para pekerja Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd (PMMA) yang terjejas akibat penutupan dua jabatan pembuatan di kilang Shah Alam 1, diberi pilihan Skim Pemisahan Persetujuan Bersama (MSS) dengan sebahagian besar menerima tawaran itu.

Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia, PMMA memaklumkan rasionalisasi dan penstrukturan semula perniagaan telah dilaksanakan pada 31 Mac lalu, seiring penutupan jabatan tersebut.

“Tiada kilang atau jabatan lain yang terjejas,” katanya dalam kenyataan.

Menurut PMMA, sebagai organisasi yang berdedikasi mengekalkan budaya hormat-menghormati serta tanggungjawab, pihaknya mengadakan libat urus bersama kakitangan dan menyediakan bantuan dan sokongan sepanjang proses tersebut.

“Pekerja yang memilih MSS, telah menerima pakej pampasan yang adil dan saksama.

“Manakala yang menolak, akan ditawarkan pertukaran ke jabatan lain dalam PMMA, sesuai dengan kemahiran dan potensi pertumbuhan masing-masing,” katanya .

Semalam media melaporkan Panasonin bertindak menutup kilang di Shah Alam dan Melaka, namun syarikat itu menafikan laporan tersebut.

Menurut PMMA penutupan yang membabitkan dua jabatan pembuatan dan bukannya keseluruhan operasi. – MalaysiaGazette