KANSER adalah masalah kesihatan yang serius yang telah menyebabkan kematian jutaan orang di seluruh dunia setiap tahun. Rawatan kanser konvensional seperti pembedahan, kemoterapi dan radioterapi telah menjadi asas kepada terapi kanser selama bertahun-tahun, tetapi kaedah ini sering mempunyai kesan sampingan yang serius dan tidak selalunya memberi berkesan kepada semua pesakit. Oleh itu, penyelidik telah berusaha mencari terapi alternatif yang lebih berkesan dan kurang kesan sampingan yang berbahaya. Salah satu bentuk terapi ini yang diperkenalkan pada masa sekarang adalah imunoterapi, di mana sel-sel imun pesakit digunakan untuk memerangi sel kanser.
Salah satu bentuk rawatan imunoterapi adalah vaksin sel dendritik.
Apa itu sel dendritik?
Sel dendritik (DCs) adalah satu jenis sel darah putih yang memainkan peranan penting dalam sistem imun. DCs ini boleh ditemui di seluruh badan, tetapi amat banyak terdapat dalam tisu limfoid seperti limpa dan nodus limfa. DCs berperanan dalam mempersembahkan antigen kepada sel T, yang merupakan sel yang mengenali dan memusnahkan penceroboh asing seperti virus dan bakteria. Apabila DCs bertemu dengan antigen, ia menelannya, memprosesnya dengan memecahkannya menjadi fragmen-fragmen kecil. Fragmen ini kemudian dipersembahkan di permukaan DCs, di mana
ia boleh dikenali oleh sel T. DCs yang teraktif juga boleh menghasilkan isyarat kimia yang dipanggil sitokin, yang membantu mengaktifkan sel T dan sel-sel imun yang lain.
Apa itu vaksin sel dendritik?
Vaksin sel dendritik adalah salah satu bentuk terapi imunoterapi yang melibatkan penggunaan DCs untuk merangsang respons imun terhadap sel kanser. Proses ini bermula dengan pengambilan DCs dari darah atau sumsum tulang pesakit. DC kemudian dibiakkan dalam makmal dan diperkenalkan kepada antigen yang berasal dari sel kanser pesakit sendiri samada dalam bentuk protein keselurukan tumor, RNA tumor atau DNA tumor. Proses ini bertujuan untuk mendidik DCs untuk mengenali dan menyerang sel kanser. DCs yang telah didik tadi kemudian akan disuntikkan semula ke dalam badan pesakit, di mana ia bergerak ke nodus limfa dan mempersembahkan antigen kanser tadi kepada sel T. Proses ini akan mengaktifkan sel T, yang kemudian boleh mengenali dan memusnahkan sel kanser. Percubaan klinikal menunjukkan vaksin sel dendritik boleh digunakan untuk merawat pelbagai jenis kanser, termasuk melanoma, kanser prostat, dan kanser payudara. Pada masa ini, Sipuleucel-T (Provenge) merupakan vaksin sel dendritik yang telah mendapat kelulusan oleh Food and Drug Agency (FDA), Amerika Syarikat dan telah dijual di pasaran untuk rawatan refraktori hormon kanser prostat.
Gabungan rawatan imunoterapi
Gabungan dua kaedah rawatan imunoterapi seperti vaksin sel dendritik dan perencat pusat pemeriksaan (anti-CTLA-4, anti-PD1 dan anti-PDL1) akan menghasilkan tindak balas anti-kanser yang lebih berkesan. Kesan anti-kanser yang lebih baik ini didorong oleh tindak balas vaksin sel dendritik yang mengaktifkan sel T sitotoksik manakala perencat pusat pemeriksaan menghalang reseptor yang merencat pengaktifkan sel T sitotoksik ini yang akan menghasilkan perforin dan granzyme B untuk memusnahkan sel-sel kanser. Walaubagaimana pun, gabungan dua rawatan imunoterapi ini turut memberi beberapa kesan yang buruk kepada pesakit iaitu berisiko menyerang dan memusnahkan sel-sel yang normal, meningkatkan kadar rintangan terhadap rawatan kanser, tiada dos dan urutan yang optimum bagi gabungan rawatan imunoterapi ini.
Kesimpulan dan perspektif masa depan
Banyak kesukaran yang menghalang penggunaan meluas vaksin sel dendritik ini seperti tindak balas imun selular yang lemah, kos penghasilan vaksin sel dendritik yang tinggi dan proses yang memakan masa. Walaupun keberkesanan klinikal yang masih terhad, Vaksin sel dendritik masih merupakan strategi baru yang berpontensi untuk rawatan kanser di mana kajian keselamatan dan kebolehlaksanaan vaksin sel dendritik telah dilaksanakan dengan jayanya. Selain itu, gabungan rawatan vaksin sel dendritik dan perencat pusat pemeriksaan turut menghasilkan tindak balas anti-kanser yang lebih berkesan berbanding rawatan vaksin sel dendritik sahaja. Pelbagai cara sedang dikaji untuk mengatasi pelbagai kelemahan rawatan vaksin sel dendritik dan gabungannya seperti ketoksikan akibat ubat, tindak balas terapeutik di bawah paras yang sebenar dan kadar keberkesanan yang kurang. Kajian juga perlu dipergiatkan lagi berkaitan biologi DCs terutama subset DCs mana yang sesuai untuk pembangunan vaksin, antigen tumor yang terbaik untuk merangsang DCs, strategi pemuatan vaksin yang terbaik dan dos vaksin yang optimum.
Oleh: Dr Rafeezul Mohamed
Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Bioperubatan,
Institut Perubatan dan Pergigian Termaju,
Universiti Sains Malaysia