Anggota bomba mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan penyelamat dan menyerahkan mayat mangsa kepada pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

KUANTAN – Seorang lelaki maut manakala lima lagi tercedera dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 29, Jalan Jengka-Maran pada malam tadi.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Ab Rahman berkata mangsa yang maut merupakan kakitangan Agro Bank dikenali sebagai Azman Mat Jusoh, 41, meninggal dunia di lokasi nahas.

Menurutnya, nahas membabitkan empat buah kenderaan di mana Toyota Yaris dipandu mangsa bertembung dengan kenderaan pikap Mitsubishi Triton sebelum berlanggar dengan lori rigid dan Perodua Myvi yang berada di belakang laluan mangsa.

”Siasatan awal yang telah dijalankan mendapati mangsa dari arah Maran menghala ke Bandar Jengka.

“Setibanya di tempat kejadian, kenderaan dipandu mangsa telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kenderaan pikap dinaki lima sekeluarga yang datang dari arah Bandar Jengka.

”Kereta mangsa  terus berpusing dan terlanggar lori dan Myvi yang datang dari arah Maran. Menurut saksi kejadian menerusi hasil temubual mengatakan mangsa meninggal dunia di lokasi nahas,” ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, mangsa yang cedera ialah pemandu dan penumpang Mitsubishi Triton, manakala pemandu lori dan Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Norzamri berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jengka bagi proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dilaku dengan menggunakan peralatan ’rescue tool’.

”Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

”Semua mangsa yang cedera dibawa ke hospital dengan menggunakan ambulan KKM,” katanya. – MalaysiaGazette