KUALA LUMPUR – Muslimat Pas mengajak UMNO untuk bersama-sama di bawah satu payung demi kesatuan Melayu dan Islam.
Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuraidah Mohd. Salleh berkata, tempoh selama lebih enam bulan sudah mencukupi untuk UMNO berada di bawah ‘khemah besar’ Kerajaan Perpaduan.
“Cukuplah tempoh selama lebih enam bulan UMNO berkhemah di bawah jajaran khemah besar yang ternyata cantik di luar namun penuh kekotoran di dalamnya.
“Marilah bersatu di bawah payung kesatuan Islam dan Melayu yang mana kita meletakkan asas kesatuan demi perpaduan ummah,” katanya dalam kenyataan.
Nuraidah menegaskan, UMNO harus mengambil langkah berani untuk bersama blok yang betul demi survival agama, bangsa dan negara.
Justeru beliau meminta pemimpin UMNO untuk kembali memegang prinsip perjuangan dan mengangkat wibawa kepimpinan ke tempat yang tinggi.
Pemimpin UMNO, menurut beliau, tidak harus menggadai maruah dan prinsip perjuangan semata-mata kerana jawatan yang ditawarkan oleh Pakatan Harapan.
Nuraidah mendakwa, kepimpinan UMNO tidak bebas membuat keputusan ketika berada dalam Kerajaan Perpaduan.
“Pemimpin UMNO tidak harus menggadai maruah dan prinsip perjuangan semata-mata kerana jawatan yang ditawarkan oleh Pakatan Harapan.
“Pimpinan UMNO harus sedar biarpun memegang kuasa, tangan mereka diikat ketat oleh pimpinan parti lain di dalam Pakatan Harapan agar mengikut telunjuk mereka.
“Perkara ini semua dapat dilihat dengan jelas sepanjang mereka berada dalam Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang ini,” dakwanya.
Tambah beliau, UMNO harus sedar dalam kemelut negara sekarang yang dilanda krisis ekonomi yang teruk dengan nilai ringgit semakin jatuh.
Menurut Nuraidah, kepimpinan UMNO harus meletakkan sentimen peribadi ke tepi dan mengutamakan kepentingan rakyat.
Beliau juga meminta supaya ahli UMNO tidak membiarkan nasib diri mereka ditentukan oleh pimpinan UMNO yang bermasalah.
Menurutnya, pemimpin terbabit sedaya upaya berusaha untuk melepaskan diri sendiri daripada masalah peribadi yang dihadapi.-MalaysiaGazette