BUTTERWORTH – Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini melancarkan Kempen Ambil Pekerja Lokal bagi menggalakkan pengambilan tenaga kerja tempatan.

Ia sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.

Pelancaran itu disempurnakan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri 2023 di Pulau Pinang hari ini.

Menurut Sivakumar, kempen itu juga untuk menggalakkan lagi penggajian pekerja tempatan selain menyokong Projek Reben Kuning yang memberi ruang kepada bekas banduan terutama belia, bekas pelajar juvana untuk memperoleh pekerjaan.

Sivakumar.

Kata beliau, Kempen Ambil Pekerja Lokal merupakan program susulan daripada insiatif Malaysianization yang dilaksanakan dari 2021 untuk menggalakkan majikan mengajikan pekerja tempatan bagi jawatan yang sebelumnya disi oleh pekerja asing.

“Projek Reben Kuning yang diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan pada 2018 pula bertujuan untuk memberi peluang kedua kepada bekas banduan agar mereka boleh kembali ke pangkuan masyarakat dengan kehidupan yang lebih baik setelah selesai menjalani hukuman.

“Insentif Kerjaya Madani 2023 yang dilancarkan KSM baru-baru ini, melengkapi Kempen Ambil Pekerja Lokal, kerana ia memberi fokus kepada peningkatan peluang-peluang pekerjaan dan penempatan pekerjaan untuk pelbagai kumpulan sasar di bawah Program Daya Kerjaya, Daya Kerjaya TVET dan Program Bina Kerjaya.

“Permohonan untuk ketiga-tiga insentif tersebut telah dibuka sejak 1 Mei lalu dan akan berakhir pada 31 Disember ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Orang ramai membanjiri Karnival Kerjaya MYFutureJobs di Butterworth Arena hari ini.

Tambah beliau, kerajaan juga berhasrat mencapai 35 peratus tenaga mahir membabitkan anak tempatan menjelang 2030.

“Jadi kita akan buat kempen ini secara berterusan untuk memastikan majikan-majikan dalam negara memberi peluang kepada anak watan daripada terlalu bergantung dengan pekerja asing,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah 2023 Pulau Pinang yang berlangsung selama dua hari bermula semalam di Butterworth Arena, Sivakumar berkata, penganjuran itu berpaksikan tujuan yang sama iaitu menyediakan peluang pekerjaan kepada semua golongan yang sedang mencari kerja.

“Karnival ini memainkan peranan penting dalam mengurangkan kadar pengangguran negara selain meningkatkan sosio-ekonomi rakyat serta pertumbuhan ekonomi.

“Kita lihat karnival ini mendapat sambutan menggalakkan daripada para majikan malah, menerusi karnival di Pulau Pinang sebanyak 7,000 kekosongan pekerjaan dengan tawaran gaji bulanan sehingga RM9,500,” katanya. – MalaysiaGazette