Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia telah memperhebatkan usaha dan sedang memburu sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen yang menghantar sepucuk surat amaran dan ugutan jenayah kepada Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya memandang serius  tindakan biadap dan melampau ah long yang berani mencabar dan mengugut pegawai tertinggi PDRM di Pulau Pinang.

Katanya, PDRM telah menerima satu laporan polis mengenai sepucuk surat amaran dan
ugutan yang dialamatkan kepada Ketua Polis Pulau Pinang, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

“Surat layang tersebut yang dimasukkan di dalam sampul surat, telah diterima pada 1 Jun 2023 melalui perkhidmatan Pos Malaysia.

“Pemeriksaan awal PDRM terhadap sampul surat tersebut mendapati terdapat enam keping replika wang kertas ‘duit mayat’ dan sekeping nota berbentuk amaran agar pihak polis Kontinjen Pulau Pinang agar menghentikan tindakan agresif memerangi sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen di negeri terbabit,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat petang hari ini.

Tambah beliau, surat layang tersebut turut berserta nota berunsur ugutan jenayah terhadap Ketua Polis Pulau Pinang bahawa akan membakar kedai serta balai polis sekiranya amaran berkenaan tidak diendahkan.

Tegas Acryl Sani, PDRM memandang serius ugutan jenayah terbabit dan operasi mengesan suspek melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Bukit Aman.

“Siasatan sedang giat dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah melalui suatu komunikasi tanpa nama.

“PDRM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengugut dan mengancam pegawai PDRM dalam menjalankan tugas memerangi kegiatan haram serta jenayah di negara ini,” tegasnya.

Semalam Kok Chin menyifatkan ugutan jenayah yang diterima daripada sindiket along adalah lumrah dalam melaksanakan tugas membanteras aktiviti dan sindiket haram.

Menurutnya, sebagai Ketua Polis Pulau Pinang, beliau dan seluruh anggotanya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti haram.

Katanya lagi, pihak polis tidak akan tunduk terhadap sebarang ancaman atau ugutan pihak tidak bertanggungjawab.

“Memang saya ada menerima ugutan apabila membongkar serta melumpuhkan sindiket terlibat jenayah di negeri ini.

“Bagaimanapun, saya tidak akan berkompromi atau bersekongkol dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti haram di negeri ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Asal Muasal siapa yg terlalu memberi muka, siapa yg menjadi dalang bersekongkol dgn kumpulan ini..

Comments are closed.