Nahzatusshima (tengah) bersama suaminya, Jessri hadir ke pejabat One Hope Charity bagi memohon mendapatkan dana daripada orang awam bagi menampung kos rawatan pemindahan buah pinggangnya.

BUKIT MERTAJAM – Bekas pramugari rayu bantuan bagi menampung kos pemindahan buah pinggang berjumlah RM150,000.

Nahzatusshima Kamarudin, 48, berkata, pemindahan buah pinggang itu perlu dilakukan segera susulan keadaan buah pinggangnya kini di tahap akhir.

Jelas ibu kepada dua anak itu, suaminya, Jessri Hazril, 47, sedia mendermakan satu buah pinggang memandangkan mempunyai jenis darah sama namun mereka tidak mampu menanggung kos pemindahan itu.

“Sudah hampir 12 tahun saya menjalani rawatan dialisis selepas disahkan mempunyai penyakit buah pinggang.

Hampir 12 tahun Nahzatusshima menjalani rawatan dialisis.

“Bagaimanapun keadaan saya kini kritikal dan memerlukan pemindahan buah pinggang untuk kelangsungan hidup tetapi kami tidak mampu membayar kerana kosnya berjumlah RM150,000.

“Saya dan suami bekerja sendiri selepas diberhentikan ketika pandemik Covid-19 malah kos rawatan dialisis juga bergantung bantuan Perkeso dan Zakat Selangor,” katanya yang menetap di Subang Jaya.

Tambahnya, dia mengharapkan dengan pemindahan buah pinggang ini akan memberi sedikit sinar dalam kehidupannya.

Sementara itu, Pengerusi pertubuhan kebajikan, One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau berkata, pasangan itu tampil ke pejabat untuk memohon bantuan dengan mengutip dana daripada orang ramai bagi menampung kos rawatan pemindahan buah pinggang.

“Sehubungan itu, sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun bank One Hope Charity & Welfare 3201428817 (Public Bank) atau menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org.

“Selain itu, orang ramai boleh menghubungi talian 016 419 2192, 019 232 2192 atau 04 539 9212 untuk maklumat lanjut,” kata beliau. – MalaysiaGazette