KUALA LUMPUR – Penantian lebih 5, 650 penduduk pangsapuri kos rendah B40 di Cheras di sini sejak empat pilihan raya umum untuk memiliki kediaman baharu lebih selesa bakal menjadi kenyataan.
Kini kerja pembangunan semula pangsapuri kos rendah Sri Pulau Pinang, Sri Johor, Sri Melaka dan Taman Ikan emas sedang dilaksanakan.
Lebih menggembirakan 1, 192 pemilik unit itu akan berhijrah ke rumah baharu tiga bilik dengan berkeluasan 850 kaki persegi akan siap dibina dalam fasa pertama menjelang Julai 2026 nanti.
Pengerusi Sub Zon 1 Pangsapuri Kos Rendah Bandar Tun Razak, Cheras, Hanafiah Md Amin menyifatkan perkembangan terkini itu sebagai khabar gembira untuk penduduk yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Perumahan yang kami sedang duduk sekarang sudah berusia lebih 40 tahun dan sejak 20 tahun yang lalu kami mengharapkan kepada kerajaan agar mengumumkan perumahan baharu yang selesa dengan segala kemudahan asas berbanding rumah lama yang hanya mempunyai dua bilik dan sempit.
“Kali ini kami bersyukur kerana penantian kami dibalas Kerajaan Malaysia Madani yang mengumumkan pembangunan semula pangsapuri kami dan kerja-kerja pembinaan sedang berjalan dan dijangka siap 2026.. tidak sabar untuk pindah ke rumah baharu nanti,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata demikian selepas program lawatan dan turun padang Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang meninjau kemajuan projek tersebut dan mengenal pasti isu-isu yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Hanafiah memaklumkan penduduk difahamkan apabila unit perumahan baru siap nanti ia ditawarkan pada harga RM28,000 seunit.

Walaupun harga itu murah dan berpatutan namun Hanafiah menagih pertimbangan segera kerajaan Malaysia Madani khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar sebahagiannya ditawarkan secara percuma kepada penduduk.
“Ini kerana, rata-rata kebanyakan penduduk di pangsapuri kos rendah berkenaan sudah tua dan tidak bekerja sementara mereka yang bekerja dibebani tanggungan lain yang perlu dijelaskan setiap bulan.
“Maka saya mewakili suara dan nadi penduduk 80 peratus yang terdiri daripada B40 di sini mencadangkan kerajaan agar prihatin dan memberikan rumah secara percuma kepada yang tidak bekerja dan sudah menjangkau usia.
“Manakala kerajaan juga tolong menetapkan kadar bayaran yang rendah kepada penduduk atau pemilik unit yang bekerja supaya bagi kedua-dua golongan ini nilai kediaman RM28,000 ini masih tidak mampu untuk ditanggung bayarannya,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang penduduk, Davinder Kaur, 66, tidak sabar untuk melihat perumahan baharu kos rendah dengan tiga bilik itu siap segera kerana ia akan mengurangkan beban mereka menyewa RM124 di rumah dua bilik yang sempit dan tidak selamat diduduki lagi.
“Saya mempunyai dua anak manakala salah seorangnya berstatus orang kelainan upaya (OKU) yang mana memerlukan perhatian yang serius.
“Kami duduk di tingkat tiga Flat Sri Johor dan sukar turun naik untuk anak OKU saya manakala rumah pula mengalami masalah tangki bocor, rumah baharu nanti ada tiga bilik dan boleh duduk selamat dan selesa tanpa risau soal keselamatan,” jelasnya lagi.-MalaysiaGazette