UMNO PH Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Mohd Sharkar Shamsudin

KUALA LUMPUR – Jentera UMNO diminta menerangkan kepada akar umbi dan rakyat bahawa kerjasama yang dijalinkan dalam Kerajaan Perpaduan adalah antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, tidak timbul isu kononnya UMNO bekerjasama dengan DAP.

Beliau memberitahu, peranan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan adalah untuk memastikan perkara-perkara utama seperti agama Islam, institusi diraja dan bahasa Melayu dipelihara.

“Jadi kita kena beritahu bahawa kita bekerjasama dengan PH.

“Juga beritahu perkara-perkara yang telah kita janjikan maknanya kalau tidak disentuh kita akan cuba perkukuh lagi kerjasama,” katanya.

Mohd Sharkar berkata demikian ketika diminta mengulas tentang Taklimat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Selain itu, beliau memberitahu, Ahmad Zahid mahu politik percakaran yang sedang berlaku di negara ini dihentikan kerana jika dibiarkan berterusan, rakyat akan menjadi bosan.

“Macam sekarang ini, orang tu kata orang ini, sampai bila? Kita kena hentikan dan terus bergerak ke hadapan,” katanya.

Mohd Sharkar turut berkongsi pesanan Ahmad Zahid yang meminta jentera parti turun padang memberi penerangan tentang isu-isu semasa kepada ahli akar umbi serta pengundi di enam negeri yang bakal menghadapi pilihan raya nanti. – MalaysiaGazette