JOHOR BAHRU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor kekurangan 141 anggota serta 54 jentera untuk ditempatkan di 33 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) yang merangkumi empat zon di negeri ini.
Pengarahnya, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Siti Rohani Nadir berkata, kekurangan tersebut bagaimanapun tidak menjejaskan operasi BBP terbabit.
“Kekurangan ini akan diatasi secara berperingkat-peringkat dan kekosongan sedia ada tidak dapat diatasi dalam masa singkat. Pengambilan anggota baharu akan dilakukan pada hujung tahun ini.
“Kita jangkakan semua kekurangan ini akan dapat diatasi pada hujung tahun depan. Johor menduduki tangga kedua dalam menghadapi masalah kekurangan anggota bomba di seluruh negara selepas Selangor.
“Pada masa sama kita akan memastikan jentera diselenggara dan berada dalam keadaan baik supaya ia dapat digunakan terutama bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya selepas majlis Sambutan Pengarah JBPM Johor di Ibu Pejabat JBPM Johor di Jalan Tebrau, di sini, hari ini.
Siti Rohani yang merupakan wanita pertama menjawat jawatan Pengarah JBPM di negeri ini mengakui kekurangan tersebut menjadi cabaran untuknya bagi memastikan perkhidmatan kebombaan yang terbaik dapat diberi.
Beliau memulakan perkhidmatannya pada 1997 di Bahagian Penguatkuasa JBPM Negeri Sembilan berkata, cabaran lain ialah menguruskan operasi banjir dan pemantauan keselamatan kebakaran.
Siti Rohani yang merupakan pegawai kanan bomba wanita kedua dilantik sebagai pengarah negeri, tidak menjadikan alasan jantina sebagai kekangan bagi menggalas tanggungjawab tersebut.
Beliau yakin setiap wanita yang sudah berumah tangga dan bekerjaya mampu mengecapi kecemerlangan apabila bijak mengurus masa.
“Saya syukur kerana ahli keluarga banyak memberi sokongan kepada saya sejak berkhidmat sebagai anggota bomba dan kini sudah mencecah 26 tahun.
“Di seluruh negara hanya terdapat empat peratus pegawai bomba wanita dan saya bersyukur diberi kepercayaan untuk menerajui JBPM negeri,” ujarnya anak kelahiran Parit Sulong, Batu Pahat. – MalaysiaGazette
Siti Rohani Nadir ketika menghadiri Majlis Sambutan Pengarah JBPM Johor di Ibu Pejabat JBPM Johor di Jalan Tebrau, Johor Bahru, Johor.