KUALA LUMPUR – DAP perlu meminta maaf serta menarik balik segala tohmahan yang dilemparkan terhadap UMNO bagi membuktikan bahawa parti itu benar-benar ikhlas dalam menjalinkan persahabatan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berkata, tindakan itu berupaya melembutkan hati ahli-ahli UMNO yang masih meragui kejujuran DAP.
Beliau turut membangkitkan tentang tindakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang sanggup datang ke Sarawak untuk meminta maaf kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum Kerajaan Perpaduan ditubuhkan dahulu.
“Saya mohon kepimpinan DAP kalau nak menempuh pilihan raya yang akan datang ini mahu hati orang UMNO ini lembut maka satu tuntutan maaf daripada DAP atas tohmahan yang telah diberikan kepada UMNO selama ini mesti dilakukan segera,
“Inilah cara kita. Kita tak ada selindung lagi, kita kena jujur apa yang kita junjung.
“Inilah luahan hati daripada akar umbi. Kita tak nak cakap benda yang baik sahaja, kena cakap apakah realiti yang berlaku di bawah ini supaya kita dapat selesaikan perkara pokok ini,” katanya.
Dr Akmal berkata demikian ketika berucap menyampaikan ucapan Dasar Ketua Pemuda pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2023 di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Pada masa yang sama, beliau menegaskan, Pemuda UMNO juga menuntut DAP membuktikan segala tohmahan, pemikiran dan dakwaan tentang DAP bersikap anti-Melayu, anti-Islam, rasis dan menyokong komunisme tidak berlaku dalam Kerajaan Perpaduan.
Dr Akmal turut menyatakan pendirian Pemuda UMNO yang mahu parti itu membela nasib orang Melayu, mempertahankan Islam dan menjunjung kedaulatan raja-raja Melayu.
“Kita mahu UMNO dalam Kerajaan Perpaduan ini berfungsi sebagai penjaga, pelindung dan pemelihara Melayu, Islam dan bumiputera, tanpa meminggirkan kepentingan kaum lain.
“Kalau ada ada mana mana pihak yang cuba, waima terlintas walau sedikit pun untuk mengganggu gugat agama, bangsa dan institusi raja, tengok muka ini, tengok muka pemuda-pemuda ini, langkah mayat kami dulu!” tegasnya.
Sementara itu, beliau memberitahu, Pemuda UMNO tidak dapat menerima kebiadaban seorang pelawak di luar negara, Jocelyn Chia menghina Malaysia baru-baru ini.
Dr Akmal menambah, Pemuda UMNO akan membuat laporan polis serta berhimpun untuk menyerahkan surat bantahan di hadapan Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur pukul 2.30 petang esok. – MalaysiaGazette