KUALA LUMPUR – Hala tuju UMNO selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan menjadi tumpuan utama pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 kali ini.
Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Malaysia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau yakin pengamal media pada kali ini sudah tentu ingin mengetahui apakah pendirian utama parti berkenaan selepas Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU-15) yang lalu.
“Saya percaya bahawa apa yang berlaku pada UMNO dan dalam PAU kali ini sudah tentu menjadi perkara yang ingin diketahui dan menjadi sesuatu yang dicari media. Banyak pengisian yang boleh dihasilkan pada PAU kali ini.
“Ramai juga yang ingin melihat hala tuju UMNO kali ini dengan hujah-hujah daripada sayap parti yang sudah mula disuarakan pada hari ini,” katanya ketika merasmikan Laman Media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.
Perhimpunan kali ini dijangka menyaksikan kehadiran 6,341 perwakilan sayap daripada 191 bahagian merangkumi 1,159 perwakilan Wanita, Pemuda (1,160 orang) serta 1,134 perwakilan Puteri.
PAU ini juga merupakan julung kali dilaksanakan selepas pemilihan UMNO yang diadakan pada Mac lalu membariskan kepimpinan parti sama ada di peringkat Majlis Kerja Tertinggi, sayap-sayap malah juga di peringkat bahagian.-MalaysiaGazette