KUALA LUMPUR – Kerajaan memberikan sepenuh kuasa kepada Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pelawak kelahiran Singapura, Jocelyn Chia.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selepas siasatan selesai, perkara itu akan diserahkan kepada Peguam Negara.
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa terutamamnya SKMM, PDRM untuk melakukan siasatan dan mengambil tindakan dan serahkan perkara ini kepada Peguam Negara untuk mengambil langkah-langkah selanjutnya,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2023) yang berlangsung di Pusat Dagangan Duni (WTCKL) hari ini.
Hadir sama adalah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Ahmad Zahid berkata demikian mengulas pertanyaan media mengenai pendirian kerajaan terhadap tindakan melampau pelawak yang berasal dari jiran itu.
Sebelum ini tular video seorang pelawak wanita kelahiran Singapura itu yang bertindak keterlaluan memperlekeh Malaysia dalam satu persembahan komedi berdiri ‘Singapore vs Malaysia’ dipercayai diadakan di Manhattan, New York Amerika Syarikat.
Menerusi klip video dimuat naik menerusi akaun TikTok, Chia turut membandingkan Malaysia yang hanya bertaraf negara membangun, berbanding negaranya lebih maju selepas lebih 40 tahun berpisah dari Tanah Melayu.
Sepanjang rakaman video berdurasi satu minit 29 saat itu, pengisian bahan lawak dipersembahkan Jocelyn berbaur kata-kata menghina dan memek muka memperlekehkan Malaysia.
Ini termasuk jenaka keterlaluan yang menyentuh mengenai kehilangan pesawat Malaysia, MH370 yang dikatakan ‘tidak mendarat’. – MalaysiaGazette