KUALA LUMPUR – Intan Maizura Othman, isteri salah seorang kru pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 dan gagal ditemui sehingga kini tampil menyelar keceluparan pelawak Singapura, Joyelyn Chia kerana mempersendakan tragedi tersebut.
Tampil di laman TikTok, katanya, apa yang disebut oleh pelawak tersebut tidak kelakar kerana anaknya Muhammad menangis sehingga ke hari ini lantaran kehilangan seorang ayah dan pada yang sama pelawak itu berani mempersendakan tragedi itu.
LINK: https://vt.tiktok.com/ZSLYpCspC/
“Adakah kamu tahu berapa ramai ibu yang masih menangis sehingga ke hari ini? Kamu tidak tahu kerana kamu tidak mempunyai empati dan hati.
“Atau kamu tidak mempunyai keluarga, malah jika kamu ada keluarga saya percaya mereka akan berasa malu hari ini atas kebodohan kamu,” katanya.
Dalam luahan ringkas itu, Intan Maizura berkata, tinggal di negara membangun tetapi mempunyai hati serta perasaan adalah jauh lebih baik daripada tinggal di negara yang kononnya kelas pertama di dunia.
Ibu kepada dua anak itu turut meminta supaya berhenti normalisasi segala perkara bodoh semata-mata untuk meraih perhatian.
Intan Maizura kehilangan suami, Mohd Hazrin Mohamed Hasnan dalam tragedi sembilan tahun lalu. Beliau ketika itu mengandung anak kedua yang dinamakan Muhammad.
Artikel berkaitan: Pelawak Singapura hina Malaysia dikecam
Hari ini warga maya tampil mengecam Jocelyn Chia selepas rakaman video dalam program ‘ComedyCellarUSA’ tular apabila didakwa menghina Malaysia.
Antara perkara yang menjadi bahan lawak wanita tersebut termasuk insiden MH370 yang menimbulkan kemarahan warga maya. – MalaysiaGazette