Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiringi Presiden Indonesia, Joko Widodo pada sesi lawatan santai di Pasar Jalan Raja Alang, Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto: PMO

KUALA LUMPUR – Tidak seperti biasa, Pasar Jalan Raja Alang, Chow Kit, di sini, menerima tetamu istimewa dari Indonesia pada hari ini.

Kehadiran Presiden Indonesia, Joko Widodo pada sesi lawatan santai di Pasar Jalan Raja Alang menceriakan lagi suasana dengan lebih 2,000 pengunjung dan peniaga warga negara jiran itu memenuhi kawasan pasar tersebut untuk melihat lebih dekat wajah pemimpin mereka.

Malah nama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengiringi Jokowi turut dilaungkan orang ramai.

Terdahulu kedua-dua pemimpin itu, tiba di pasar yang berada di ibu negara kira-kira pukul 12.30 tengah hari dengan diiringi sorakan dan sambutan yang luar biasa.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Indonesia Joko Widodo ketika sesi santai di Pasar Jalan Raja Alang, Chow Kit, Kuala Lumpur, 8 Jun 2023. – SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri

Suasana hangat apabila Jokowi menghulurkan tangan untuk bersalaman dan berswafoto bersama dengan orang ramai.

Kesempatan turut diambil kedua-dua pemimpin itu dengan beramah mesra dengan para peniaga.

Jokowi dan Anwar kemudian menikmati cendol durian di Kafe Masa yang terletak Jalan Raja Laut sebelum berangkat ke Restoran Samudera Kampung Baru untuk makan tengah hari.

Dalam pada itu, pekerja dan pengunjung warga Indonesia menyanyikan lagu kebangsaan Indonesia sejurus Jokowi muncul di pintu belakang Pasar Raja Bot, Chow Kit.

Warga Indoesia menetap di Malaysia, Ayu Listi.

Sementara itu, warga Indonesia yang menetap Malaysia, Ayu Listi, 36, berkata, dia amat teruja melihat sosok tubuh pemimpin berwibawa itu yang sanggup turun padang untuk mendekati rakyatnya.

Katanya, kehadiran Jokowi itu membuatkan beliau seperti berada di Indonesia setelah sekian lama tidak pulang ke negaranya.

“Alhamdulilah, sebagai warga negara (Indonesia) kita terharu dan berasa senang dapat bertemu (Jokowi). Beliau seorang yang luar biasa, suka merendah diri, ambil tahu tentang rakyat dan baik bagi kami.

“Bukan itu sahaja, beliau juga seorang yang besederhana dan bapak Jokowi adalah figura yang luar biasa kerana beliau mendidik kami untuk saling menjaga kerukunan bangsa, kita harus sederhana dan saling menghormati.

“Ketika kita lockdown saya dapat lihat, beliau banyak membantu kami di sini seperti menyalurkan bantuan makanan ketika kami tiada makanan walaupun beliau di sana. Secara peribadi saya menyanjung dengan bapak Jokowi,” katanya terharu.

Ketua Solidariti Keluarga Migran Indonesia, Fedelia Suzie.

Bagi Ketua Solidariti Keluarga Migran Indonesia, Fedelia Suzie, 35, berkata, kehadiran Jokowi ke Malaysia bagaikan mimpi yang menyebabkan
beliau mula merindui kampung halaman.

“Saya sudah lama menetap di Malaysia dan ini adalah pertama kali saya dapat bertemu dengan figura yang merupakan kebanggaan Indonesia secara dekat, saya rasa macam mimpi.

“Ditambah pula, saya sudah lama tidak pulang ke sana jadi bila sosok pemimpin kita yang sangat merendah diri dan disayangi rakyat Indonesia, boleh dirasai suasana seperti di sana.

“Bapak Jokowi memang seorang yang sederhana dan beliau akan cuba sebaik mungkin memberikan solusi yang terbaik kepada rakyatnya yang berada di sini seperti bantuan, tiada dokumen dan sebagainya,” ujarnya.

Dalam pada itu, rata-rata warga Indonesia berharap jalinan kerjasama antara Anwar dan Jokowi terus utuh bagi menjaga hubungan antara kedua-dua negara yang berada di bawah satu rumpun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast