Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said

KUALA LUMPUR – Calon Kerajaan Perpaduan sama ada UMNO, Amanah mahupun PKR yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu dijangka menggunakan logo Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, walaupun pucuk pimpinan parti belum memuktamadkan perkara itu, namun kepimpinan Pakatan Harapan (PH) di negeri berkenaan sudah sebulat setuju dengan cadangan tersebut.

“Pada asasnya mereka hampir bersetuju sebab negeri pantai timur ini, PH tak ramai, Kelantan, Terengganu dan Kedah (lebih ramai pemimpin) UMNO dan Pas.

“Sebab itu dia sedar, bagi Terengganu pada dasarnya dia bersetuju PH menggunakan lambang BN. Dia sendiri tiada masalah, dan bersetuju, kalau di Terengganu, Amanah dan PKR berapa orang sahaja, tak ramai.

“Keputusan muktamad akan dibuat oleh pucuk pimpinan parti, tapi pada dasarnya di Terengganu dia bersetuju menggunakan lambang BN,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Semalam, MalaysiaGazette difahamkan semasa Taklimat Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, ada perwakilan mencadangkan agar calon Perpaduan dalam PRN di negeri Pantai Timur menggunakan logo BN.

Dalam pada itu, ketika ditanya tentang jumlah kerusi yang bakal diperolehi rakan sekutunya, Amanah dan PKR di Terengganu, Ahmad bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana ia bakal ditentukan pucuk pimpinan kelak.

“Itu terpulang kepada pucuk pimpinan parti, bila tak tahu lagi, kita tengah berunding dan kita serah kepada pucuk pimpinan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette