KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 12 individu termasuk dua pegawai agensi kerajaan, empat doktor perubatan swasta dan enam orang awam kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti memalsukan dokumen sijil lahir untuk mendaftarkan anak angkat sebagai anak kandung.
Menurut sumber, kesemua suspek lingkungan usia 42 hingga 81 tahun itu ditahan kira-kira jam 6 petang semalam dalam satu serbuan berasingan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang.
Tambah sumber, pemohon (orang awam) akan membayar wang rasuah sama ada secara peribadi atau menerusi orang tengah kepada doktor di klinik-klinik tertentu bagi mendapatkan surat pengesahan kelahiran palsu walaupun anak yang akan didaftarkan itu tidak dilahirkan di klinik tersebut.
Difahamkan doktor tertentu akan menandatangan dan mengesahkan borang kelahiran di klinik berkenaan walaupun ia tidak berlaku.
Kemudian dengan pengesahan tersebut pemohon atau orang tengah akan menguruskan pendaftaran kelahiran anak berkenaan.
Sekiranya terdapat keraguan pihak berkaitan akan memaklumkan kepada pemohon bahawa permohonan tidak dapat diproses dan perlu menunggu tindakan lanjut.
Kaunter agensi kerajaan kemudian akan merujuk permohonan ini ke Bahagian Siasatan Khas untuk dibuka fail siasatan.
Pemohon atau orang tengah kemudian akan cuba berurusan dengan pegawai agensi kerajaan bagi mendapatkan status permohonan.
Sekiranya permohonan mereka ditolak atau disenarai hitamkan mereka akan menawarkan sejumlah wang rasuah kepada pegawai terlibat untuk mendapatkan kelulusan bagi permohonan itu.
Difahamkan jumlah bayaran rasuah yang diterima adalah antara RM2,000.00 hingga RM6,000.00 bagi setiap kes.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17 dan Seksyen 18 ASPRM 2009.
Tambah beliau, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira jam 8.30 pagi ini untuk urusan permohonan reman.- MalaysiaGazette